Skip to main
Logo Malaysiakini

BN berdosa jika tak tunai janji, kata Wee

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Calon BN Wee Jeck Seng menegaskan janji dalam pilihan raya merupakan suatu tanggungjawab yang perlu ditunaikan, malahan berdosa jika tidak dikotakan.

“Sudah lama saya berkhidmat sebelum ini dah 10 tahun, banyak program saya sudah buat, kebajikan pendidikan dan sebagainya.

“Saya bagi jaminan (pada janji yang dibuat) kalau PH tidak tahu lah. Tidak tahu dia janji apa tetapi kalau tak tunai dia salahkan kita.

“Kita (BN) kalau janji kita tunai kalau tak tunai kita dosa,” katanya ketika berucap di Bangunan Umno bahagian Pontian sejurus selepas penamaan calon.

Turut hadir di atas pentas ketika beliau berucap adalah Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Wee Ka Siong dan ramai lagi barisan tertinggi parti tersebut.

Wee yang juga ketua bahagian MCA turut menzahirkan rasa syukurnya atas kehadiran penyokong BN pada penamaan calon pagi tadi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

“Alhamdullilah hari ini kita lihat bahawa kita memang ramai penyokong dan saya terharu,” katanya.

Wee merupakan bekas MP Tanjung Piai selama dua penggal sebelum tewas kepada calon PH Allahyarham Dr Mohd Farid Mohd Rafik pada PRU14 lalu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini berkata sebagai anak tempatan yang menjadi calon PH, beliau memiliki kelebihan untuk menawan hati pengundi.

"Tanggungjawab saya adalah mendekati rakyat untuk merayu undi.

“Harapkan sokongan daripada semua untuk pastikan dapat undi yang banyak di Tanjung Piai," katanya pada sidang media di Dewan Jubli Intan Pontian Johor selepas proses penamaan calon selesai.

Selain calon PH dan BN, PRK Tanjung Piai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru itu turut membabitkan calon Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Gerakan diwakili timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam dan Berjasa oleh presidennya Dr Badrulhisham Abdul Aziz.

Dua calon bebas ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 16 November. Pengundian awala akan dijalankan pada 12 November.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52, 986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).

Untuk rekod, PRK Tanjung Piai merupakan PRK kesembilan selepas PRU ke-14.