Skip to main
Logo Malaysiakini

Penamaan calon lancar - Polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian hari ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh berkata semua pihak termasuk penyokong setiap parti yang hadir mematuhi arahan pihak polis yang bertugas.

"Seramai 1,185 anggota telah ditugaskan untuk proses penamaan calon ini, yang melibatkan kontinjen dan daerah-daerah di dalam Johor, selain anggota dari Bukit Aman," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon itu.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Parti Barisan Jemaah Islamiah) dan dua calon Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Hari mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan pada 16 November ini, manakala pengundian awal pada 12 November ini.

Sementara itu, Mustafa turut menasihati setiap parti yang terlibat dalam tempoh berkempen bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 15 Nov ini, supaya menjalankan kempen dengan penuh berhemah dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita berharap agar calon-calon dapat membantu dan mengawal semua penyokong mereka supaya proses berkempen itu berjalan lancar dan tidak ada menimbulkan kegusaran yang mendatangkan ancaman ketenteraman dan keselamatan di daerah Pontian khususnya," tambahnya.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Dr Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung. Allahyarham Dr Md Farid, 42 menewaskan Wee dan Nordin Othman daripada PAS dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

- Bernama