Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Tak betul salahkan DAP punca masalah di M'sia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan DAP yang disifatkan beliau sering menjadi sasaran kritikan oleh sebilangan besar orang Melayu.

Berucap pada Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan, beliau berkata ramai orang Melayu menyalahkan masyarakat bukan Melayu, terutamanya kaum Cina dan akhirnya mengkritik DAP.

"Saya nak beritahu di sini, kalau ada bukti, saya tidak ada masalah, kamu nak kritik DAP. Tapi, jadikan ini sebagai bahan untuk pukul, tunjukkan masalah di negara ini adalah kerana DAP, ini tak betul.

"Ia langgar prinsip saya sebagai seorang Muslim, pertama tegakkan perdamaian, kedua, tegakkan keadilan. Apa ertinya agama tanpa belas kasihan dan kasih sayang? 

"Apa ertinya agama, makna religion without compassion, kasih sayang. Sebut agama benci orang, sebut agama, kafirkan orang, sebut agama, busukkan orang, disebabkan DAP atau orang lain

"I pergi banyak tempat orang Melayu, dia sebut Anwar kamu okay, tapi kamu rapat dengan DAP. Ya, ramai cakap macam itu.

"Tapi, saya tidak perlu rasa bersalah. Saya musuh dengan perompak, pembunuh, orang yang tindas rakyat, orang guna kuasa untuk angkut dan rompak harta rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) perlu menangani kebimbangan dibangkitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mendakwa DAP menjadi mangsa 'daulah terpendam' atau 'deep state'.

"Saya fikir ia adalah isu yang membimbangkan dan pihak serta kepemimpin kerajaan telah dimaklumkan.

"Saya rasa ada keperluan untuk menjelaskan (isu ini) untuk mengurangkan kecurigaan dan salah tanggapan," tambahnya lagi.

Dalam kenyataan semalam, Lim berkata pemimpin parti itu mempersoalkan sekiranya DAP menjadi mangsa Daulah Terpendam. 

Katanya ini selepas pihak berkuasa mensasarkan DAP dengan menghubungkannya dengan kumpulan pengganas yang tidak lagi aktif serta mendakwa parti itu menyebarkan propaganda komunis.

'Kalau Melayu rompak tangguh tindakan'

Awal bulan ini, dua anggota parlimen DAP - G Saminathan dan P Gunasekaran - serta seorang lagi ahli parti itu adalah antara 12 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) berhubung dakwaan dikaitkan dengan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka dikenakan pelbagai tuduhan mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana dikaitkan dengan sokongan terhadap LTTE, serta memiliki dan memaparkan bahan-bahan yang berkaitan dengan kumpulan itu.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa PKR tidak bersetuju dengan penggunaan Sosma terhadap 12 individu terbabit

Sementara itu, Anwar mempersoalkan tindakan pantas diambil terhadap 12 individu berkenaan.

"Kalau orang Melayu rompak kita tangguh tindakan, kalau India, cepat-cepat kita tangkap, (kaitkan) LTTE.

"Sebab itu kita sebut reformasi bermakna menolak dua undang-undang, satu undang-undang untuk orang kaya dan berkuasa, satu lagi untuk rakyat. 

"Undang-undang mesti satu, orang besar, orang kecil (Kena) ambil tindakan," katanya.

[Baca berita penuh]