Skip to main
Logo Malaysiakini

Khaled: Tanjung Piai medan referendum 3 perkara

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Naib Presiden Umno Khaled Nordin menyifatkan pilihan raya kecil Tanjung Piai sebagai medan pungutan suara rakyat mengenai tiga perkara.

"Pertama, ia akan menjadi referendum tentang prestasi Pakatan Harapan.

"Kedua ia akan menguji sejauh mana Muafakat Nasional diterima oleh masyarakat Malaysia.

"Ketiga, pilihanraya ini adalah tentang masa depan Bersatu," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Khaled sekiranya Bersatu gagal menang di Tanjung Piai, maka kedudukan parti itu di dalam PH akan lemah.

"Jika Bersatu gagal di Tanjung Piai, ia adalah petanda bahawa Bersatu tidak boleh menjadi jurucakap bangsa Melayu," katanya lagi.

Selanjutnya, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata walaupun isu tempatan menjadi keutamaan namun PRK kali ini akan dibayangi pelbagai isu negara.

"PRK ini pasti akan lebih bersifat nasional dan Tanjung Piai akan menjadi medannya.

"Isu tempatan akan terus menjadi keutamaan tetapi ia akan di bayangi oleh pelbagai isu nasional," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipetik berkata memandangkan Karmaine Sardini ialah calon parti pemerintah, maka penduduk parlimen itu akan lebih mudah mendapat kemudahan kerajaan berbanding memilih calon pembankang.

“Dia dari Pakatan Harapan, dia bukan pembangkang. 

"Kalau ingin pilih pembangkang bolehlah tetapi kerana dia daripada kerajaan PH wakil kita, ini saya kira penduduk di sini akan dapat satu cara yang agak lebih mudah dalam menyampaikan masalah penduduk, mendapatkan peruntukan pembangunan diperlukan, bantu soal-soal kebajikan, pendidikan dan ekonomi," katanya, lapor Bernama.

Karmaine, 66 ialah ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai, yang berasal dari Pontian merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Dalam politik, Karmaine yang pernah menjadi bendahari Umno Tanjung Piai itu antara seorang salah pemimpin utama menubuhkan bahagian Bersatu di kawasan itu.

Pada PRK ini Karmaine akan berhadapan dengan calon BN, Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai Wee Jeck Seng yang juga bekas MP Tanjung Piai selama dua penggal sebelum tewas kepada calon PH Allahyarham Dr Mohd Farid Mohd Rafik pada PRU14 lalu.

Selain calon PH dan BN, PRK Tanjung Piai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru itu turut membabitkan calon Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Gerakan diwakili timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam dan Berjasa oleh presidennya Dr Badrulhisham Abdul Aziz.

Dua calon bebas ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 16 November. Pengundian awala akan dijalankan pada 12 November.