Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Jemilah rakyat M'sia pertama julang Hadiah Asean

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengasas Mercy Malaysia Dr Jemilah Mahmood dipilih sebagai pemenang Hadiah Asean 2019 sebagai mengiktiraf peranan utama beliau dalam pelbagai misi kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ini.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama menerima anugerah itu, yang diperkenalkan di Singapura tahun lepas.

Dr Jemilah, 60, menerima trofi dan hadiah wang tunai US$20,000 daripada Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha dan Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin negara anggota Asean yang lain menyaksikan majlis penyampaian anugerah itu.

Dr Jemilah adalah anggota pasukan kepimpinan kanan di Persekutuan Antarabangsa Bulan Sabit Merah, mewakili kepentingan dan Setiausaha Agung pertubuhan itu apabila diperlukan.

Hadiah Asean merupakan anugerah berprestij yang bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan mencetuskan inspirasi oleh seseorang individu atau pertubuhan dalam memupuk identiti ASEAN, mempromosi semangat ASEAN serta memperjuangkan hala tuju Asean.

Tahun lepas, Hadiah Asean diraih bekas Pengerusi Asean Autism Network, Erlinda Uy Koe dari Filipina.

- Bernama