Laporan: Selepas hampir dikesan, Jho Low dapat pasport Cyprus
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dilaporkan mendapatkan pasport daripada Cyprus, sebuah negara kepulauan di Mediterranean, ketika pihak berkuasa hampir dapat mengesannya pada 2015.
Menurut akhbar Cyprus Politis, Low mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners, untuk tujuan itu.
Laporan itu turut dipetik laman Sarawak Report, yang merupakan pihak awal mendedahkan skandal 1MDB.
Menurut laporan itu, firma itu sebelum ini mendapatkan pasport daripada sebuah lagi negara kepulauan iaitu Saints Kitts and Nevis untuk Jho Low, tetapi pasport itu telah dibatalkan susulan siasatan antarabangsa terhadapnya, yang dipercayai dalang skandal 1MDB.
Laporan itu berkata Low mendapatkan pasport Cyprus melalui Pelan Pelaburan Cyprus, yang memerlukan pihak yang berminat untuk mendepositkan sejumlah lima juta euro ke dalam bank Cyprus untuk tempoh tiga tahun, dan membeli kediaman kekal bernilai paling kurang 500,000 euro.
Low membeli sebuah villa bernilai lima juta euro di sana pada 23 September 2015 untuk memenuhi syarat itu, kata laporan itu lagi.
Dia tiba di Cyprus pada 18 September 2015 untuk mendapatkan pasport tersebut.
Menurut laporan itu lagi, Low memerlukan pasport alternatif untuk memudahkan pergerakannya ketika penyiasat semakin dapat mengesan jejaknya.
Laporan itu berkata Low diberi pasport itu walaupun pemeriksaan latar belakang terhadapnya membangkitkan beberapa amaran (red flag).
Pemeriksaan itu membangkitkan kebimbangan terhadap status Low sebagai 'politically exposed person' (PEP) serta dakwaan kegiatan pengubahan wang haram, penipuan dan pelanggaran undang-undang.
PEP ditakrifkan sebagai individu yang diberi kepercayaan awam dan lebih berkemungkinan untuk terlibat dengan rasuah dan korupsi ekoran kedudukannya itu.
Laporan itu berkata Henly & Partners tidak memberi respons ketika diminta mengulas perkara itu.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB dan kini bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana tersebut.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan atas dakwaan rasuah sementara Low masih tidak dapat dikesan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai