Hari 29: 1MDB minta maklumat, Petrosaudi Holdings tak layan
LANGSUNG | Selepas mengalami masalah mata bengkak pada 31 Okt lalu, hari ini Najib Razak hadir di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan kesnya di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.
Bekas perdana menteri dan presiden Umno itu berdepan empat pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sebanyak RM2.28 bilion.
Najib dibela sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah, manakala pihak pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram.
Khamis lalu Najib tidak hadir dengan mengemukakan alasan mengalami alahan pada mata.
Malaysiakini akan membawakan laporan perbicaraan Najib secara langsung di sini.
LANGSUNG
3.45 petang: Perbicaraan untuk hari ini berakhir lebih awal kerana hakim Sequerah mempunyai urusan lain.
Beliau kemudian menyatakan perbicaraan akan disambung semula jam 9.30 pagi esok.
3.30 petang: Walaupun memiliki 40 peratus kepentingan saham dalam syarikat usahasama dengan Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd, 1MDB tidak memiliki kawalan penuh ke atas entiti tersebut.
Kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Petrosaudi Holdings sebelum ini menolak begitu saja permohonan 1MDB untuk mendapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut dan mengadakan mesyuarat lembaga pengarahnya.
Menurut bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu, permohonan kepada Petrosaudi Holdings itu dibuat beberapa kali.
Katanya Petrosaudi Holdings menguasai 60 peratus saham dan pengerusinya adalah dari syarikat tersebut serta memiliki hak mengundi.
2.40 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.
12.48 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat dan akan disambung jam 2.30 petang nanti.
12.30 tengah hari: Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, interaksi dia dengan Najib suatu ketika itu membuat bekas perdana menteri itu selesa dengan kejujuran Petrosaudi International (PSI).
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa ditanya Shafee mengenai keperluan membuat penelitian terhadap PSI sebelum mereka meneruskan usahasama dengan syarikat terbabit.
Ketika itu, kata bekas CEO 1MDB itu, pemegang saham adalah Najib, iaitu melalui pemilikan Kementerian Kewangan Diperbadankan.
Ketika ditanya sama ada Najib ada memaklumkan bahawa beliau tahu dengan tepat siapa pemilik PSI, Shahrol mengaku bekas perdana menteri terbabit tidak pernah menyatakannya.
Shafee: Sebagai perdana menteri (Najib) dalam kapasitinya sebagai pemegang saham, kamu tidak menjangkakan beliau membuat penelitian sewajarnya?
Shahrol: Secara umum, ya. Tetapi (situasi) ini - dalam persepsi saya - Najib secara peribadi terbabit dalam hubungan ini, bertemu Putera Turki (dari Arab Saudi), bercuti. Saya tak boleh pastikan kalau perdana menteri ada keupayaan untuk membuat penelitian sewajarnya.
Shafee kemudian bertanya jika pihak profesional - seperti 1MDB - patut membuat semakan sendiri, Shahrol bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Ketika Shafee meminta penjelasan maksud Shahrol bahawa Najib "vouch" (menjamin) untuk PSI, saksi terbabit berkata sukar untuk menentukannya tetapi ia konsisten dengan semua interaksinya dengan Najib sejak Sept 2009 termasuk penilaian mengenai PSI pada Okt tahun berkenaan.
Shahrol bagaimanapun mengakui apabila Shafee bertanya jika PSI digunakan sebagai alat penipuan dengan penglibatan Jho Low.
12.10 tengah hari: Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah, pada 2010 syarikat itu merancang untuk membangunkan dua projek, iaitu Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) - yang turut dikenali sebagai Tun Razak Exchange atau TRX - dan tanah tapak bekas Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi.
Menurut Shahrol Azral Ibrahim Halmi melalui projek tersebut 1MDB bercadang untuk mengambil pinjaman bagi untuk mengumpul dana masing-masing sebanyak RM5 bilion dan RM10 bilion.
Bagaimanapun, katanya, 1MDB hanya memperoleh RM1 bilion untuk projek KLIFD manakala bagi projek pembangunan dirancang di Sungai Besi, tiada dana diperolehi.
Daripada jumlah itu, kata Shahrol, hanya sebahagian kecil dana disalurkan kepada projek KLIFD.
Shafee: Adakah dana RM5 bilion dan RM10 bilion dikumpulkan oleh 1MDB?
Shahrol: Untuk RM5 bilion, ya. Yang RM10 bilion tidak.
Shafee: Untuk membiayai apa?
Shahrol: Bagi membiayai dua projek ini. Sungai Besi (tanah bekas lapangan terbang) dan TRX.
Shafee: Adakah RM5 bilion pernah digunakan untuk projek (TRX)?
Shahrol: Sebahagian yang sangat kecil digunakan untuk TRX, kalau ingatan saya betul, walaupun saya perlu melihat kepada rekod-rekod kewangan berkaitan. Kebanyakan (wang tersebut digunakan) untuk PSI (Petrosaudi International) sebagai tambahan kepada perjanjian murabaha yang kita perkatakan sebelum ini.
Shafee: Ini satu lagi senario yang biasa, iaitu lembaha pengarah diberitahu bahawa projek KLIFD dan Sungai Besir memerlukan RM5 bilion dan RM10 bilion. Kamu berjaya mengumpul RM5 bilion terlebih dulu.
Shahrol: Kami akhirnya (hanya) meminjam RM500 juta serta kira-kira RM700 juta. Saya tak fikir ia mencukupi sehingga RM5 bilion.
10.40 pagi: Sebagai menteri kewangan Najib - yang memiliki pegangan istimewa dalam 1MDB - pada 2010 memberi kebenaran kepada syarikat terbabit melupuskan saham bernilai AS$1 bilion dalam badan usahasama mereka dengan Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd.
Semasa soal balas ke atas saksi, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, mahkamah diberitahu kaedah pelupusan saham itu, bagaimanapun, diputuskan oleh anggota Lembaga Pengarah 1MDB.
Shahrol ialah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB.
Katanya anggota lembaga pengarah tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Najib untuk menentukan kaedah pelupusan saham kerana bekas perdana menteri itu mengizinkan ia dibuat.
Untuk rekod, pada Mac 2010 anggota Lembaga Pengarah 1MDB meluluskan tindakan melupuskan saham terbabit dari segi hutang oleh syarikat usahasama kepada 1MDB dalam nota murabahah bernilai AS$1.2 bilion.
Maksudnya, walaupun menerima wang tunai atas pelupusan saham berkenaan, 1MDB hanya menerima satu dokumen yang menyatakan 1MDB-Petrosaudi Ltd berhutang sebanyak AS$1.2b.
10.10 pagi: Ekoran kemunculan Najib pada hari penamaan calon PRK Tanjung Piai pada Sabtu lalu, hakim hari ini mengeluarkan amaran untuk tidak bertolak ansur kepada sebarang cubaan mengelirukan mahkamah.
Khamis lalu Najib mengemukakan sijil cuti sakit selama sehari dari klinik sebagai alasan untuk tidak dapat menghadiri perbicaraannya.
Hakim Sequerah mengeluarkan amaran keras itu selepas Gopal mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk ia diberikan ke atas Najib.
Pada 31 Okt lalu prosiding mahkamah terpaksa ditangguhkan selepas mata Najib mengalami alahan menyebabkan ia bengkak dan sakit.
Bagaimanapun keesokan harinya beliau muncul di Johor menjelang hari penamaan calon.
"Mahkamah tidak akan bertoleransi terhadap sebarang usaha mengelirukannya. Kalau ada isu berbangkit, mahkamah tidak teragak-agak untuk menghukumnya sebagai menghina mahkamah.
"Tetapi selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah tidak melihat ada keperluan mengenakan sekatan," kata Sequerah.
Terdahulu Gopal memberitahu pihak pendakwaan mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk memohon agar Najib dikenakan sekatan agar tidak keluar dari Kuala Lumpur dan melaporkan diri ke balai polis terdekat dengan rumahnya setiap jam 9 pagi Sabtu.
Kata Gopal, Thomas mendapati masalah alahan Najib hilang secara "ajaib" selepas Khamis sehingga membolehkan tertuduh berkunjung ke Johor.
Bagaimanapun Shafee berhujah, Thomas tidak membuat semakan teliti dan hanya mengeluarkan arahan kepada pihak pendakwaan yang dipantaunya.
Kata Shafee, surat sakit Najib hanya untuk sehari saja dan tertuduh pergi ke Johor selepas masalah gatal matanya sembuh. Namun kata peguam kanan itu, kesan bengkak pada mata tertuduh masih ada.
Beliau juga mencabar pihak yang membuat aduan polis mengenai Najib agar datang ke mahkamah dan membuat aduan secara rasmi.
"Jelas dia menyorok di belakang seseorang dan membuat aduan salah serta cuba membina prejudis ke atas anak guam saya," katanya.
9.44 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai