Azhar Idrus jalani pembedahan lengan
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang cedera akibat terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, di Jalan Pusara, Kuala Terengganu semalam, dilaporkan menjalani pembedahan di bahagian lengan kiri pagi tadi.
“Insya-Allah pagi ini jam 10.00 pagi 5 November Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus akan menjalani pembedahan di bahagian lengan. Sama-sama kita doakan agar dipermudahkan urusan ini.
“Buat masa ini beliau ingin berehat sepenuhnya dan kita tidak dapat menerima sebarang kunjungan untuk menziarahi beliau sehingga keadaan mengizinkan.
“Terima kasih diatas titipan doa dan ucapan dari semua,” kata pengendali laman Facebook rasminya, Ustaz Azhar Idrus (Original) pagi tadi.
Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada pembedahan itu sudah berakhir ataupun belum.
Pada kejadian semalam, basikal Azhar dikatakan behenti mengejut menyebabkan dia terjatuh dan mengakibatkan tangan kiri dan hidungnya patah, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum itu, dia menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.
Sementara itu, pembantu khas penceramah itu, Wan Safari Wan Ahmad meminta peminat Azhar supaya tidak bimbang atau membuat sebarang spekulasi berhubung kecederaannya itu.
Susulan kejadian itu juga, semua kuliah membabitkan Azhar ditangguhkan sementara waktu, seperti yang dimaklumkan di laman Facebook rasminya.
Dalam perkembangan berkaitan, portal Berita Harian Online memetik Wan Safari sebagai berkata penceramah itu dilaporkan stabil.
“Pembedahan mungkin mengambil masa empat jam. Selain patah tangan kiri dan hidung, beliau turut patah dua gigi hadapan kerana kejadian itu.
“Ustaz Azhar stabil dan sempat bergurau dengan saya mengenai dua giginya yang patah ketika ditemui di hospital malam tadi,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai