Skip to main
Logo Malaysiakini

Ang mahu tumpu kempen di Facebook

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Calon bebas Ang Chuan Lock menjelaskan bahawa dia cuma membayar wang deposit pendaftaran sejumlah RM10,000 bagi bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, dan bukan bagi bahan kempen buat pilihan raya tersebut.

Tambahnya, dia juga tidak berniat untuk berkempen melalui ceramah.

“Deposit RM10,000 untuk pencalonan, itu saya sudah jelaskan. (Bayaran) yang RM5,000 untuk SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) deposit kempen saya tidak bayar.

“[...]kerana hari itu, saya ada cakap dengan pegawai SPR yang saya tidak niat hendak kempen, jadi dia pun kata kalau tidak mahu tak payah bayar,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah rumah di Pontian hari ini.

Untuk rekod, SPR menetapkan seseorang yang ingin bertanding dalam pilihan raya parlimen dikehendaki mengemukan wang deposit RM10,000.

Selain itu, calon juga dikehendaki untuk membayar deposit bahan kempen bagi pilihan raya iaitu sejumlah RM5,000.

Sementara itu, Ang berkata dia akan menggunakan kaedah yang berbeza bagi berkempen iaitu dengan memanfaatkan media sosial.

Kata Ang, dia banyak menggunakan Facebook bagi menyampaikan mesejnya.

“Saya ada satu cara lain iaitu menggunakan Facebook, saya akan mengiklankan melalui platform tersebut dan sampaikan mesej saya.

“Bajet juga saya juga satu ribu sahaja dan saya akan tumpukan kepada kawasan Kukup dan Pekan Nenas,” katanya.

Tambah Ang, melalui komunikasi digital dia yakin dapat menyampaikan mesejnya kepada pengundi dengan efisien.

“Ia bagus terutama untuk anak muda kerana sehingga kini ramai yang ada akaun media sosial dan baca berita di sana.

“Dulu juga saya belajar dalam bidang ini, jadi pendapat saya ia adalah satu cara yang efisien,” katanya.

Berdasarkan semakan Malaysiakini ketika berita ini ditulis, hantaran Facebook Ang yang terakhir adalah pada Rabu lalu.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

PRK Tanjung Piai akan menyaksikan pertembungan enam penjuru. Selain Ang, calon lain ialah Karmaine Sardini dari Bersatu yang mewakili PH, Wee Jeck Seng yang dipertaruhkan BN, Wendy Subramaniam (Gerakan) serta calon dari Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz serta seorang lagi calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 16 November manakala hari pengundian awal pada 12 November.