Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek RM5.2 bilion hubungkan Sarawak-Sabah tanpa melalui Brunei

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pembinaan Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah dengan jajaran 425 kilometer (km) menjadi jalan perhubungan darat pertama menghubungkan dua negeri itu tanpa melalui Brunei.

Projek tersebut membabitkan kos sebanyak RM5.2 bilion dan mengambil masa enam hingga 10 tahun pembinaannya yang dilaksana secara berfasa dengan pakej pertama dari Lawas melalui Long Sukang ke Long Lopeng dan berakhir di Kampung Pa’ Berunut melibatkan jajaran sepanjang 90 km bermula Oktober tahun hadapan.

Pakej kedua akan melibatkan jajaran utama sepanjang 160 km bermula dari Kampung Pa’ Berunut sehingga ke Long Lama dan jajaran jalan susur sepanjang 175 km.

Menteri Kerja Raya Baru Bian ketika melancarkan projek pembinaan jalan itu di Lawas hari ini berkata rangkaian jalan ini akan menghubungkan 14 bandar utama di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.

"Selama lebih 56 tahun selepas pembentukan Malaysia, ini adalah julung-julung kalinya kerajaan Persekutuan meluluskan projek pembinaan jalan raya bertar yang merupakan ‘last frontier’ yang menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, menggantikan laluan balak sedia ada," katanya.

Menurutnya, rangkaian jalan ini memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan di pos kawalan Imigresen Malaysia-Brunei sebanyak lapan kali sekiranya menggunakan jajaran jalan pantai sedia ada dan jajaran Lebuhraya Pan Borneo.

Katanya masalah berkaitan imigresen di pintu sempadan yang telah lama membelenggu pengguna jalan raya di sini akan ditangani sekali gus meningkatkan keselesaan, keselamatan dan taraf perhubungan jalan raya kepada rakyat setempat.

"Pembaharuan ini mungkin satu fantasi bagi rakyat di pedalaman Sarawak. Namun, kerajaan Persekutuan berjaya merealisasikannya dan memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama.

"Sebagai anak orang Ulu Sarawak, inilah yang saya impikan selama ini. Sekarang, kita terpaksa menggunakan kereta pacuan empat roda (4WD) dengan penggunaan tayar ‘off-road’ untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di kawasan pedalaman, dan ini memakan masa yang agak panjang," kata Ahli Parlimen Selangau itu.

Beliau berkata di samping itu, projek ini juga adalah bahagian penting dalam pelan Jaringan Jalan Raya Transborneo yang akan melengkapkan rangkaian jalan raya di Borneo dan menambah baik kesalinghubungan kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah ke Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan turut memberi jaminan akan memantau dan memastikan pembinaan Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah di Lawas itu siap dibina mengikut jadual yang ditetapkan kerana projek ini menjadi keutamaan petunjuk prestasinya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Turut diadakan pada majlis itu adalah sesi menandatangani memorandum persefahaman kerja ukur rangkaian jalan ini di antara pihak Jabatan Kerja Raya dengan dua syarikat juruukur.

- Bernama