Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PH sambut baik hasrat Dr M turun kempen

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad untuk turun ke kawasan Parlimen Tanjung Piai bagi membantu kempen PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu mampu menyuntik semangat kepada jentera parti, selain menunjukkan keprihatinan perdana menteri terhadap penduduk di kawasan itu.

Calon PH bagi PRK Tanjung Piai Karmaine Sardini berkata beliau berbesar hati dengan kesudian Dr Mahathir untuk turun ke kawasan Tanjung Piai bagi membantunya berkempen.

"Saya berbesar hati. Dia (Dr Mahathir) pilih saya sebagai calon dan dia juga datang memberi sokongan.

"Sebagai ketua parti dan perdana menteri, sudah tentu usaha beliau (Dr Mahathir), rakyat kena nampak itu usaha bagi mengekalkan PH di Tanjung Piai ini," katanya ditemui pemberita selepas berkempen di sekitar Pekan Kukup dan pasar pagi Simpang Empat, Serkat, di Pontian hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata beliau akan turun ke Tanjung Piai untuk berkempen membantu Karmaine.

“Saya akan (turun berkempen)… sekurang-kurangnya sekali,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Bangkok, Thailand, bersempena Sidang Kemuncak Asean ke-35.

Sementara itu mengulas mengenai kempennya hari ini yang masuk hari keempat, Karmaine berkata beliau menerima sambutan positif daripada orang ramai dan peniaga, namun, kesuntukan masa untuk menyantuni lebih ramai penduduk tempatan.

Katanya tiada sebarang isu berbangkit dimaklumkan para peniaga di pasar pagi itu.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

PH berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang Barisan Nasional, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

- Bernama