Isu jaminan tahanan LTTE perlu dirujuk ke mahkamah persekutuan - TPP
Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jaminan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Gadek, Melaka G Saminathan yang ditahan di bawah akta kesalahan keselamatan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias berkata permohonan jaminan itu melibatkan isu perlembagaan yang perlu dirujuk dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan.
Saminathan yang menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mohd Izhanudin berkata Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan dan memutuskan isu jaminan terhadap individu yang ditahan di bawah SOSMA walaupun Mahkamah Sesyen telah memerintahkan supaya permohonan itu didengar di mahkamah itu.
"Walaupun ada perintah daripada Hakim Mahkamah Sesyen untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan berpendapat bahawa persoalan berhubung isu perlembagaan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya ketika sebutan permohonan Saminathan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.
Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan berkata Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan dan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen pada 1 Nov lepas telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd Nazlan menetapkan 13 Nov untuk mendengar hujahan lanjut daripada kedua-dua pihak dan mengarahkan mereka memfailkan hujahan masing-masing serta persoalan yang ingin dibangkitkan dalam permohonan itu sebelum atau pada 12 Nov ini.
Hari ini hanya permohonan Saminathan disebut di Mahkamah Tinggi.
Pada 1 Nov lepas, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Saminathan, ADUN Seremban Jaya P Gunasekaran, 60; pemandu teksi V Balamurugan, 37; penghantar surat S Teeran, 38; peniaga besi buruk A Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan S Chandru, 38; juruteknik S Arivainthan, 27; penjaga stor S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, SelangorSundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V Suresh Kumar, 43; dan peniaga B Subramaniam, 57.
Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.
Prosiding hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai