OSA tiada masalah, cuma dulu disalah guna - Hanipa
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin (PH-Sepang) secara peribadi mengakui Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 adalah satu akta yang bagus dan tidak bermasalah.
Bagaimanapun akta berkenaan telah disalahgunakan oleh kerajaan terdahulu bagi melindungi kezaliman.
Ia termasuk pendakwaan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di bawah akta berkenaan ekoran beberapa pendedahan dibuat bekas anggota Parlimen Pandan itu, katanya.
Rafizi pada April 2016 didakwa di bawah OSA atas tiga tuduhan termasuk memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia berhubung Laporan Pengauditan 1MDB serta memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH).
"Saya secara peribadi berpendapat, akta rahsia rasmi tidak mempunyai masalah.
"Dulu (kerajaan BN) OSA telah disalahgunakan untuk melindungi kezaliman, penyalahgunaan kuasa, bukan melindungi maklumat sulit.
"Sekarang kita mencari keseimbangan untuk menyelesaikan masalah itu," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Azalina Othman Said (BN-Pengerang) meminta perdana menteri menyatakan apakah status penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat yang akan menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) serta bilakah kerajaan bercadang untuk membuat konsultasi awam berkenaan rang undang-undang tersebut sebelum di bawa ke Parlimen.
Menjawab pertanyaan itu, Hanipa berkata kedua-dua akta berkenaan kini sedang dalam kajian sebelum sebarang keputusan dibuat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Hanipa menjelaskan kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk menambah baik atau menghapuskan OSA atau mewujudkan akta itu dan Akta Kebebasan Maklumat secara bersama.
"Kerajaan komited memastikan cadangan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat ini dilaksanakan secara holistik dan inklusif.
"Justeru konsultasi awam akan dilaksanakan sebaik saja aspek dasar berkaitan akta ini dimuktamadkan dengan pihak berkepentingan.
"Kita juga komited mempertahankan hak (dalam) Perlembagaan Persekutuan. Jadi kita adakan Akta Kebebasan Maklumat, pada masa sama sedang kaji OSA yang dibuat kerajaan BN," katanya lagi. pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 18 Jul lalu berkata Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan OSA.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai