Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes basikal lajak: MP gesa Zahid didakwa hina mahkamah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang anggota parlimen menggesa Peguam Negara Tommy Thomas atau majistret Johor Bahru Siti Hajar Ali untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, susulan kenyataannya berkenaan pembebasan tertuduh kes basikal lajak di negeri itu.

Ramkarpal Singh berkata Zahid patut dibawa ke mahkamah berhubung keputusan Siti Hajar membebaskan seorang jurujual perempuan daripada tuduhan memandu secara melulu, mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb 2017 lalu.

Kegagalan berbuat demikian, kata angggota parlimen Bukit Gelugor itu, kenyataan semberono seperti itu akan menjadi kebiasaan dan ia perlu dielakkan.

Beliau berkata, Zahid membayangkan kerajaan terlibat dalam keputusan mahkamah dan majistret berat sebelah.

"Kenyataan itu jelas menjejaskan keyakinan awam terhadap kehakiman, dan memperlekeh maruah, integriti dan keadilan mahkamah.

"Ia dakwaan serius dan melangkaui kritikan saksama terhadap keputusan majistret, dan kritikan seperti itu boleh menyebabkan orang ramai merasakan dia berat sebelah dan mengambil kira perkara yang tidak sepatutnya ketika membuat keputusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu membangkitkan ketika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman terhadap peguam Arun Kasi atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengkritik secara tidak saksama keputusannya, ia mencetuskan perdebatan berhubung had kritikan terhadap keputusan mahkamah.

"Kenyataan Zahid juga sama, kalau pun tidak lebih serius, dan tidak boleh terlepas daripada undang-undang. Jika Arun disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah, tiada sebab Zahid tidak boleh (dikenakan tindakan sama)," katanya lagi.

Zahid dilaporkan membidas keputusan mahkamah dalam satu ceramah di Tanjung Piai semalam.

"Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti.

"Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah," katanya, membuatkan seorang hadirin melaungkan perempuan itu patut dihukum gantung.

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu dipercayai berpusat pada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Sam Ke Ting 24, tanpa memangilnya untuk membela diri selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata keputusan itu bersandarkan beberapa faktor, antaranya situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangka terdapat kumpulan berbasikal di jalan itu pada pukul tiga pagi.

Siti Hajar dalam penghakimannya berkata keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut.

Beliau juga berkata siasatan mendapati Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon dan memakai tali pinggang keledar ketika memandu, dan itu membuktikan dia memandu secara bertanggungjawab dan berhati-hati.