Zulfarhan menjerit semasa saya pegang seterika, kata tertuduh ketiga
Tertuduh ketiga dalam perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa mangsa menjerit semasa dia memegang seterika wap.
Muhammad Najib Mohd Razi, 23, berkata kejadian itu bermula semasa dia menuju ke katil di biliknya di 4-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, pada 5 pagi 22 Mei 2017.
Dia berkata tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali, menghalangnya daripada menuju ke katil di biliknya sebelum menyoalnya dari mana dia datang.
"Saya jawab dari mengulang kaji di bilik 4-11, selepas itu dia suruh saya buat sekali. Pada masa yang sama, tiba-tiba ada orang hulur seterika wap pada saya dan saya pegang seterika itu. Saya baru nak pusing menghadap Abdoul Hakeem, Zulfarhan telah menjerit, saya terkejut dan terus melepaskan seterika di meja belajar.
"Selepas itu saya minta kebenaran daripada Abdoul Hakeem untuk tidur dan dia benarkan. Saya terus ke katil dan tidur," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakilinya semasa prosiding membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Muhammad Najib berkata sebelum kejadian itu, antara pukul 1 hingga 4.30 pagi, pada 22 Mei 2017 dia tidak terlibat dalam kejadian soal jawab tentang kehilangan komputer riba tertuduh pertama, di bilik 4-10 dan tidak melakukan sebarang kecederaan ke atas mangsa yang boleh menyebabkan kematian, pada jam 4. 45 hingga 5.40 pagi hari sama.
Disoal Hakim Azman, siapa yang memberinya seterika wap tersebut, tertuduh menjawab: "tidak perasan".
"Saya nampak Zulfarhan ada dalam bilik (4-10), dia duduk atas lantai," jawabnya ketika disoal hakim sama ada Zulfarhan berada di dalam bilik pada masa itu dan bagaimana keadaannya.
Sebelum itu, ketika ditanya peguam Zambri Idrus yang mewakili Abdoul Hakeem mengenai tertuduh mempunyai pilihan untuk beredar dari situ (bilik 4-10) apabila anak guamnya menghalang tertuduh dan dia berada di situ atas pilihannya sendiri, Muhammad Najib menjawab “tidak bersetuju”.
Tertuduh juga mengakui dia tidak pernah membuat laporan polis tentang tindakan Abdoul Hakeem yang memintanya bertindak demikian
Muhammad Najib, pelajar jurusan Kejuruteraan Awam di UPNM, menolak cadangan Zambri bahawa tindakan Abdoul Hakeem mengarahnya membuat sekali adalah fitnah dan dendamnya (Muhammad Najib) terhadap Abdoul Hakeem.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, apa yang dimaksudkan ‘buat sekali’ oleh Abdoul Hakeem, Muhammad Najib berkata dia tidak tahu maksud tersebut.
Tertuduh tidak bersetuju dengan Julia bahawa Abdoul Hakeem mengarahkan dia dan lima tertuduh lain menekap seterika wap ke atas tubuh badan Zulfarhan Osman.
Cadangan Julia bahawa tertuduh tidak memilih untuk keluar dari bilik (4-10) kerana mahu mengambil bahagian memukul dan menekap seterika wap kepada Zulfarhan, juga ditolak Muhammad Najib.
Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung 3 dan 4 Dis.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai