18 bulan PH berkuasa, PM kata banyak kejayaan dicapai
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dakwaan pengkritiknya dengan mengatakan banyak kejayaan telah dicapai selepas 18 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa.
"Kita telah adakan satu mesyuarat berkenaan dengan pencapaian kerajaan PH terutamanya berkenaan dengan janji-janji kita dapati.
"Umumnya kita dapat capai banyak kejayaan terutamanya dalam PRU yang diadakan, kita dapat ambil alih kerajaan tanpa masalah," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Menurut perdana menteri, jika di negara lain apabila berlaku pertukaran kerajaan kebiasaannya akan terjadi rusuhan atau demonstrasi jalanan.
"Tapi kali ini kita ambil alih dengan cara yang selamat walaupun ada sikit delay tentang melantik saya sebagai PM. Ada percubaan kononnya nak ada alternative government (kerajaan alternatif). Tapi ini tidak berlaku. Mereka cuba tapi ia tidak berlaku.
"Dalam pilihan raya banyak penipuan berlaku, tapi walaupun banyak penipuan berlaku kemenangan PH jelas dengan majoriti yang besar sehingga tidak boleh dicabar," katanya.
Beliau memberi contoh kes melibatkan bekas anggota parlimen Batu dari PKR, Tian Chua yang dinafikan peluang mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya lalu, tetapi keputusan mahkamah memihak kepadanya.
Perdana menteri juga menolak cakap-cakap bahawa berlaku perselisihan faham dalam gabungan itu selepas mengambil alih kerajaan.
Bekerja secara konsensus
"Fungsi kabinet juga seperti yang anda harapkan. Ya, kami masih baru. Kami mempunyai pendapat yang berbeza.
"Tapi kita boleh duduk bersama dan kita boleh putuskan mengikut konsensus kerana kerja ikut konsensus. Inilah yang menyebabkan sekarang sudah satu setengah tahun tak ada masalah.
"Ada pertengkaran dari luar daripada kabinet. Tapi dalam kabinet walaupun saya ready nak tumbuk siapa-siapa yang nak lawan dengan saya, tapi tiada seorang yang berani," katanya berseloroh.
Beliau memberi contoh Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai dasar rasmi kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat.
"Di luar negara, kita diterima baik. Wakil-wakil kita apabila ambil bahagian dalam apa-apa rundingan diterima baik oleh rakan-rakan di negara lain. Di Bangkok baru-baru ini suara kita diperdengarkan.
"Apabila kita mengkaji untuk satu setengah tahun saya fikir tiada siapa yang boleh mencabar kita mengenai hal yang kita telah mengambil alih kerajaan dan meneruskan pentadbiran negara ini ke tahap di mana orang luar negara menghormati kita.
"Mereka tidak panggil kita kleptokrasi lagi. Mereka terima kita sama seperti mereka dan kata-kata kita didengari dan diberi penghormatan, sama ada dari Asean atau PBB.
Tidak mudah pertahankan PH
Menjawab satu soalan, Mahathir berkata menyatukan kelima-lima parti yang membentuk pentadbiran kerajaan menjadi satu cabaran kepada beliau.
"Ia tidak mudah. Kami mempunyai idea berbeza, tapi kita kekal bersama. Kami bertemu. Mewakili lima parti yang berbeza. Salah satu di antaranya (Parti Warisan Sabah) bahkan bukan ahli gabungan ini," katanya.
Beliau mendakwa banyak janji gabungan itu telah dicapai dan selebihnya akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
"Kebanyakan kita telah laksana, tetapi ada perkara kita janji untuk lima tahun, ini belum lima tahun lagi. Semuanya akan kita laksanakan tetapi perlahan-lahan bergantung kepada keadaan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan pada masa ini adalah untuk menentang rasuah.
"Kita lulus banyak undang-undang mengenai rasuah (menunjukkan) kita serius tentang perkara ini. Dari laporan yang kita dapat, rasuah besar telah hilang."
Sambil berseloroh beliau berkata "Perdana Menteri tidak mencuri wang setakat yang SPRM tahu. (Oleh itu) kita bermula dengan baik."
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai