Skip to main
Logo Malaysiakini

Mujahid: Jadikan Malaysia model negara Islam terunggul

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ummah seharusnya mencari titik persamaan agar Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh yang menjunjung erti kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata ummah perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu menuju ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ (negara yang baik dan diampuni Tuhan).

“Semoga dengan penghayatan konsep Rahmatan Lil Alamin oleh setiap individu Muslim, Malaysia dapat menjadi model negara Islam terunggul dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Mujahid berkata dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, pendekatan bagaimana kerahmatan Islam itu dapat dijelmakan dalam membina dan membentuk sebuah negara Rahmah perlu dirangka.

“Prinsip Maqasid Syariah yang memberi penekanan dalam aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu dipraktikkan dan dijadikan sebagai cara kita berfikir demi memelihara dan mempertahankan kemakmuran negara,” katanya.

Jelasnya, model negara Madinah hendaklah dijadikan contoh yang mana penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, serta keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam ketika itu, telah menatijahkan sebuah negara yang kuat, aman dan harmoni serta bersatu padu dalam kepelbagaian kaum dan agama.

Seramai 8,000 peserta daripada 100 pasukan yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform dan penuntut institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah menyertai perarakan yang bermula 7.45 pagi.

- Bernama