Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada parti patut rasa terlalu selesa'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Kempen memasuki hari kesembilan hari ini. Parti dan calon bertanding sepatutnya sudah dapat membaca kedudukan mereka di mata penduduk dan pengundi setempat.

Walaupun PRK kali ini melibatkan pertandingan enam penjuru, saingan sebenar merupakan two-horse race antara PH dan BN.

Apa yang menarik PRK ini menampilkan dua calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kedua-dua calon utama masing-masing mempunyai agenda tersendiri, dengan PH mahu menggunakan ‘pertempuran’ kali ini untuk melihat sejauh mana rakyat masih bersama dengan gabungan itu, manakala BN - yang turut mendapat sokongan PAS - tentu mahu memanfaatkan pentas Tanjung Piai untuk bereksperimentasi dengan konsep Muafakat Nasional bagi meraih pengundi khususnya Melayu yang merupakan kira-kira 57 peratus pengundi.

Hakikatnya kedua-dua parti meletakkan calon ‘kitar semula’ yang mungkin tidak begitu dilihat oleh pengundi, namun masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Di pihak BN, Dr Wee Jeck Seng, 55, adalah ahli parlimen kawasan itu selama dua penggal iaitu pada 2008 hingga 2018 sebelum tewas kepada Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik pada PRU14 dengan majoriti tipis 524 undi.

Calon PH, Karmaine Sardini, 66, pula bertanding di kawasan parlimen bersebelahan - Pontian - namun tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan, juga dengan majoriti tipis 833 undi.

Calon orang tempatan

Wee mungkin lebih dikenali kerana pernah dua penggal menjadi ahli parlimen kawasan itu selain sebagai Adun Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

Karmaine - walaupun belum dikenali sepenuhnya oleh penduduk setempat - merupakan antara pengasas Bersatu Tanjung Piai dan menjadi ketua di situ serta membantu kemenangan PH tahun lepas.

Beliau juga mempunyai sokongan daripada parti pemerintah di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mampu memainkan lebih peranan membawa pembangunan ke Tanjung Piai.

Bagi Wee, beliau kembali bertanding walaupun tewas tahun lepas kerana mempunyai hubungan baik dengan penduduk dan pengundi di kawasan Tanjung Piai dan mahu terus berbakti di Tanjung Piai.

Karmaine pula mahu menggunakan tempoh berkempen untuk mendekati sebanyak mungkin pengundi kerana berpendapat ramai yang hanya mengenali namanya sahaja tetapi belum pernah melihat dan mengenali keperibadian dari dekat.

“Saya bertanding kali ini sebab saya calon anak tempatan. Saya orang kampung (di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai) sini. Ini adalah kampung saya dan fokus utama saya lebih kepada untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi seluruh penduduk di Tanjung Piai," kata Karmaine.

Bagi penganalisis politik, Dr Md Akbal Abdullah, kekuatan PH adalah kerana mereka merupakan kerajaan dan kehadiran pemimpin-pemimpin PH yang memegang jawatan dalam kerajaan memberikan peluang kepada rakyat untuk terus menyuarakan masalah mereka.

Justeru, katanya, pihak kerajaan patut mengambil peluang mendengar masalah yang dihadapi di kawasan itu secara terus daripada rakyat.

“Sebenarnya dalam faktor ini, PH sudah mempunyai kekuatan asas kerana mereka adalah kerajaan dan boleh menjanjikan pembangunan, tidak seperti pembangkang (BN) kerana mereka bukan kerajaan lagi,” katanya.

Namun, katanya BN datang ke Tanjung Piai kali ini membawa semangat tiga kemenangan PRK sebelum ini iaitu Parlimen Cameron Highlands serta DUN Semenyih dan Rantau.

“Tanjung Piai juga menjadi lokasi pertama untuk menonjolkan penyatuan ummah (melibatkan kerjasama PAS dan Umno) kerana babitkan calon bukan muslim (daripada MCA), jadi semangatnya lebih berbeza berbanding PRK lain,” katanya.

Md Akbal juga berkata mana-mana parti juga tidak boleh terlalu selesa dengan undi kaum Cina yang pernah diterima sebelum ini kerana sokongan mereka adalah di luar jangkaan.

PH dan BN juga tidak seharusnya memandang mudah penyertaan parti Gerakan, Berjasa serta dua calon Bebas yang mampu memecahkan undi.

“Sejauh mana bilangan pecah itu, kita tidak pasti, tidak tahu, tetapi memang ada cabaran walaupun (calon-calon lain) tidak mendatangkan kesan yang nyata berbanding Wee (calon BN),” kata Karmaine.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Md Farid, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Hari mengundi ditetapkan pada 16 Nov manakala undi awal pada 12 Nov.

Selain PH dan BN, PRK kali ini turut melibatkan Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

- Bernama