Skip to main
Logo Malaysiakini

Setpol Zuraida: Pajak gadai berlesen dapat kawal ceti haram, ah long

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syarikat pajak gadai berlesen dapat mengawal kegiatan ceti haram atau ah long, justeru orang ramai dapat menggunakan saluran selamat dan terjamin dalam membuat gadain, kata Nor Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Usaha Zuraida itu malahan wajar dipuji, kata Nor Hizwan mengulas kritikan Pemuda MIC yang hairan terhadap terhadap sokongan diberikan menteri itu kepada sebuah syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu (drive through).

"Usaha Zuraida Kamaruddin wajar dipuji kerana dengan adanya syarikat pajak gadai berlesen, rakyat mempunyai kesedaran untuk menggunakan saluran betul, selamat dan terjamin dalam membuat gadaian berbanding menggunakan ceti haram atau 'ah long'.

"Saya sendiri tertanya-tanya, apakah dengan tindakan mengkritik usaha Zuraida Kamaruddin ini, memberi signifikasi bahawa Pemuda MIC menyokong rakyat mendapatkan khidmat gadaian dari ceti haram atau meminjam wang daripada ah long," kata setiausaha politik Zuraida dalam suatu kenyataan hari ini.

Semalam, Exco Pemuda MIC, Arvind Krishnan berkata "adalah sangat tidak wajar bagi seseorang yang bergelar menteri untuk memberi sokongan secara terbuka terhadap sebuah industri yang meraih keuntungan dari kesusahan rakyat biasa."

Katanya, ini selepas tular di media sosial gambar-gambar sekitar majlis pembukaan kedai berkenaan yang dirasmikan oleh Zuraida.

"Perkembangan industri pajak gadai secara drastik hanya membuka peluang untuk lebih banyak rakyat, khususnya dari kumpulan “Bottom 40” dan “Middle 40” untuk terus terjemurus dalam gejala pajak gadai akibat tekanan ekonomi yang semakin meningkat," kata Arvind dalam satu kenyataan.

Menjelaskan lanjut, Nor Hizwan hari ini berkata kenyataan Arvind itu "merupakan kenyataan kuno dan sudah ketinggalan zaman, serta tidak wujud isu menyokong industri yang menindas rakyat."

"Saya ingin merujuk kenyataan dikeluarkan Exco Pemuda MIC, Arvind Krishnan yang mengkritik tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin merasmikan syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu."

"Lucunya, selaku pimpinan beliau seolah-oleh tidak peka bahawa pengurusan pajak gadai termasuklah hal ehwal lesen adalah salah satu tanggungjawab dibawah pengurusan KPKT sendiri. Kementerian ini mengawalselia peraturan dan syarat-syarat agar industri ini berkembang dengan sihat serta terkawal dan menjamin hak-hak pengguna," katanya lagi.

Pemuda MIC, kata Nor Hizwan "seharusnya sedar kini terdapat hampir empat juta pemajak direkodkan menggunakan khidmat di 593 premis pajak gadai berdaftar di seluruh negara pada tahun lepas dengan nilai gadaian kira-kira RM8 juta."

"Untuk pengetahuan Pemuda MIC, khususnya Arvind Krishnan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT ada membangunkan aplikasi i-Gadaian dengan tujuan bagi memudahkan orang ramai membuat carian premis pemegang pajak gadai berlesen di bawah kementerian, selain sebagai platform membuat aduan secara dalam talian," katanya lagi.