Skip to main
Logo Malaysiakini

3 wanita, termasuk 2 beradik mati lemas di Desaru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiga wanita termasuk dua beradik mati lemas ketika mandi di Pantai Batu Layar, Desaru dekat Kota Tinggi, di Johor petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata Siti Hajjar Adila Mohd Rohim, 25, dan adiknya Ummu Sulaiin Mohd Rohim, 23, serta seorang lagi wanita Asiah Abdul Rahman, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata lapan anggota bomba dari Pasukan Tindakan Kecemasan bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, dan sebaik tiba kira-kira pukul 5.30 petang, jasad ketiga-tiga wanita itu didapati telah dinaikkan ke pantai oleh orang ramai.

“Ketiga-tiganya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian yang meragut tiga nyawa wanita berkenaan dan menurutnya ketiga-tiga mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

- Bersama