Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng pertahan ‘wakil Cina’ bantu Karmaine, jika menang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha DAP Lim Guan Eng bingung mengapa MCA mempertikaikan tawaran DAP untuk membantu Bersatu jika calonnya menang di kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Lim yang juga menteri kewangan berkata tidak salah DAP membantu calon Bersatu Karmaine Sardini berkomunikasi dengan pengundi Cina sekiranya beliau menang.

"Saya lebih dari gembira jika ada orang sedia bantu saya di kawasan saya.

“Kita ingin membantu satu sama lain memandangkan kita dalam gabungan yang sama," kata Lim selepas sidang media pada Persidangan Teknikal Tahunan Ke-36 Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (Cata) ke-40 tahun 2019 di Pulau Pinang hari ini.

"Kami menawarkan bantuan kerana kami berbilang kaum.

"Sekiranya terdapat isu-isu yang dibangkitkan oleh mana-mana parti itu kerana kita mempunyai calon Melayu, terdapat pengundi Cina yang tua mengalami kesulitan dalam berkomunikasi dengannya (calon Melayu itu).

“Jadi kami menawarkan bantuan untuk menghantar Ketua DAP Johor Liew Chin Tong," katanya.

Lim memberi respons kepada presiden MCA, Wee Ka Siong yang mempersoalkan perlunya menamakan ketua DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai "wakil cina” untuk membantu Karmaine dalam PRK tersebut.

Wee berkata perkara itu bertentangan dengan mesej yang disampaikan DAP dan PH untuk tidak melihat dari perspektif perkauman.

"DAP mengatakan ia tidak melihat dari perspektif kaum, jadi apa yang berlaku kepada DAP?

"Kenapa mereka memerlukan wakil Cina? Adakah calon Bersatu tidak dapat mewakili orang Cina?" kata Wee sebelum ini.

Terdahulu, Lim berkata jika Karmaine memenangi pilihan raya kecil Tanjung Piai, beliau akan melantik Liew untuk membantu pemimpin Bersatu itu kerana sesetengah pengundi Cina bimbang tidak dapat berkomunikasi dengannya dengan berkesan.

Ini berlaku selepas beberapa pengundi Cina menyuarakan kebimbangan apabila tidak dapat berkomunikasi dengan Karmaine secara berkesan.

Wee juga menggunakan perumpamaan itu sebagai mengulangi sindirannya sebelum ini terhadap Liew yang menjadi timbalan menteri pertahanan melalui jawatan senator.

Lim berkata lagi, tujuan membantu ahli parlimen bukanlah satu jawatan rasmi, kerana beliau turut pernah membantu ahli parlimen lain dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita hanya membantu satu sama lain, dan memandangkan Liew berasal dari Johor, kita meminta beliau untuk membantu calon Pakatan Harapan, supaya kita dapat bekerja lebih baik.

“Kita tidak tahu kenapa Wee menentang perkara ini, adakah hanya kerana kami mampu menangani sesuatu isu dan MCA gunakannya untuk menyerang kami?" soal Lim.

Dua calon yang sengit bersaing pada PRK Tanjung Piai kali ini ialah calon BN daripada MCA, Wee Jeck Seng dan calon PH dari Bersatu, Karmaine.

Calon lain yang turut bertanding ialah Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) serta dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

[Baca berita asal]