Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibrahim Ali: Mahkamah perlu tentukan jika sekolah vernakular perlu kekal

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata bahawa mahkamah perlu menyelesaikan kontroversi berhubung sekolah-sekolah vernakular yang didakwa menghalang perpaduan rakyat Malaysia.

"Saya fikir tiba masanya untuk mahkamah menyelesaikan isu ini dan menentukan jika sekolah vernakular perlu dikekalkan," kata Ibrahim.

Kata Ibrahim, kewujudan sekolah-sekolah vernakular, yang menggunakan bahasa ibunda sebagai medium, tidak selaras dengan kepentingan negara kerana menghalang integrasi dan perpaduan anak-anak dari semua kaum.

"Apa yang kami nak sebuah sistem pendidikan selaras dengan kepentingan negara dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium pembelajaran.

"Putra percaya membina integrasi dan perpaduan antara berlainan kaum perlu bermula di sekolah," katanya.

Ibrahim turut hadir ke Mahkamah Persekutuan hari ini bagi menyatakan sokongan kepada naib presidennya, Mohd Khairul Azam, yang mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan kebenaran Khairul atas dua perkara - isu perlembagaan hanya boleh didengar di mahkamah tinggi, dan parlimen mempunyai bidang kuasa untuk merumuskan peruntukan untuk menubuhkan sekolah-sekolah vernakular dan memutuskan medium pembelajaran.

Dalam usul yang difailkan pada 23 Okt tahun ini, Mohd Khairul juga seorang peguam memohon perisytiharan daripada Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan parlimen meluluskan pindaan kepada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 supaya kewujudan sekolah vernakular diteruskan, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Beliau menamakan menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Turut hadir ke mahkamah dua bekas timbalan menteri pendidikan, iaitu Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, P Kamalanathan yang menafikan bahawa kewujudan sekolah vernakular penghalang kepada perpaduan semua kaum.

"Sekolah Tamil dan Cina wujud lebih 200 tahun dan banyak ahli politik dan ahli peniaga datang daripada sekolah-sekolah ini. Saya tidak fikir sekolah vernakular ancaman kepada perpaduan," kata Kamalanathan.

Kamalanathan dan Chong berkata parti mereka akan memohon untuk menjadi sebagai pencelah dalam perbicaraan sekiranya Mohd Khairul meneruskan membuat permohonan di mahkamah tinggi.

"Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan, di mana menegaskan bahawa parlimen mempunyai bidang kuasa untuk mengubal undang-undang mengenai pendidikan," kata Chong.

"Saya harap semua pihak akan akan menghentikan (perkara ini) dan (mengakui) bahawa sekolah-sekolah vernakular tidak menyebabkan perpecahan di negara ini.

"Saya harap kerajaan (Pakatan Harapan) akan terus menyokong sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini," tambah Chong.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengucap tahniah kepada peguam-peguam daripada Jabatan Peguam Negara, berkata bahawa ini menunjukkan bahawa Jabatan Peguam Negara berjaya mempertahankan sekolah vernakular di Mahkamah Persekutuan.

"Saya harap pemohon akan menghentikan tindakan mereka mencabar sekolah vernakular kerana seperti dikatakan oleh pemimpin-pemimpin kita, sekolah vernakular merupakan aset penting kepada kepelbagaian di negara kita," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Manakala, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata bahawa keputusan hari ini perlu diterima oleh semua pihak.

"Saya fikir mahkamah merupakan platform terbaik untuk menentukan isu perlembagaan. Sekiranya, mahkamah membuat keputusan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar undang-undang, kemudian kita perlu menerima," katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Ahli Parlimen BN itu mengatakan bahawa ini kerana hanya mahkamah perlu menafsirkan Perlembagaan Persekutuan.