Dr M mahu tahu sebab penurunan penarafan keselamatan udara M'sia
Kerajaan akan mengambil langkah perlu jika terdapat apa-apa yang salah dengan pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ditanya mengenai laporan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai butirannya dan akan menelitinya dan “mahu tahu kenapa".
"Kami akan betulkan keadaan, supaya seluruh dunia akan menghormati pihak berkuasa penerbangan Malaysia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan Reuters, FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, melarang syarikat penerbangan negara itu daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat.
Menurut laporan itu, penarafan Malaysia telah diturunkan ke Kategori 2.
Ditanya sama ada beliau dimaklumkan berhubung penurunan penarafan itu, Dr Mahathir berkata: "Tidak, saya tidak dimaklumkan."
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai