'Ada penduduk Tg Piai anggap saya masih presiden Umno'
PRK TG PIAI | Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad menyuarakan keyakinan calon PH akan mengekalkan kerusi parlimen Tanjung Piai.
Ini kata beliau walaupun masih ada pengundi di Tanjung Piai yang masih menganggapnya sebagai presiden Umno.
"Kita bincang berkenaan PRK Tanjung Piai kita sedar tentang masalah-masalah di situ tetapi kita percaya kita dapat mengatasi masalah itu.
"Terdapat bukti ramai juga pengundi yang sudah bertukar pendirian mereka. Kalau dulu menyokong BN sekarang ramai menyokong PH.
" (Bagaimanapun) masih ada penduduk di sana yang fikir saya ini Dr Mahathir Mohamad adalah presiden Umno. Yang ini kita kena padamlah.
"Saya bukan presiden Umno lagi, walaupun jadi presiden 22 tahun. Saya ini pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan sebagai pengerusi Pakatan Harapan saya dilantik sebagai perdana menteri kerajaan PH," kata Dr Mahathir kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT Bersatu di Putrajaya malam ini.
Beliau juga mengesahkan akan turun berkempen untuk calon PH, Karmaine Sardini pada Rabu ini.
"Saya sendiri juga akan turun berkempen pada 13 hari bulan (November) dan saya harap pada masa itu mereka tidak anggap saya presiden Umno," katanya lagi.
Ditanya sekiranya kehadiran beliau berkempen di Tanjung Piai boleh menarik orang ramai untuk mendengar ceramah PH, Dr Mahathir menjawab: "Saya tidak tahu, kita lihat saja hari selepas esok."
Memasuki minggu kedua kempen PRK, ceramah MCA dilihat menarik lebih ramai hadirin kaum Cina.
Dr Mahathir juga membidas MCA yang didakwanya memainkan isu perkauman ketika berkempen dengan menyerang DAP.
PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini susulan kematian penyandangnya bekas menteri di JPM, Dr Md Farid Md Rafik, 42 pada 21 Sept lalu.
Calon MCA Wee Jeck Seng dan calon PH Karmaine Sardini bersaing sengit dalam pertembungan enam penjuru melibatkan calon Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai