Skip to main
Logo Malaysiakini

Setpol Maszlee buat laporan polis terhadap presiden Gerakan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mahmmod Kassim hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Mahmmod dalam satu kenyataan berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi menafikan kenyataan Dominic sebelum ini yang didakwa menfitnah dengan menggunakan fakta salah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap menteri pendidikan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Memfitnah dengan kesalahan fakta dan penyebaran persepsi negatif sebegini boleh mengganggu gugat hubungan baik antara kedua-dua negara dan membantutkan proses silang pendidikan serta kemajuan negara,” katanya.

Pada 10 November lepas, Dominic meminta Kementerian Pendidikan memberi penjelasan berhubung program pertukaran guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari Arab Saudi ke negara ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan Dr Maszlee bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh baru-baru ini.

Dr Dominic berkata, penjelasan berhubung perkara berkenaan penting kerana ia dilihat agak mengecewakan memandangkan Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan mahu pun bahasa ibunda di Arab Saudi.

Beliau juga mempertikaikan menteri pendidikan yang didakwanya memutuskan untuk membawa masuk guru yang lemah dari Arab Saudi untuk mengajar penuntut di sekolah.

Dominic dipetik Sinar Harian pada 10 November lalu berkata, berdasarkan kajian menerusi kemahiran dalam bahasa English', Malaysia menunjukkan tahap 22 iaitu tahap yang tinggi.

"Keadaan ini jelas berbeza dengan tahap sama bagi Arab Saudi yang mencatat 83 iaitu tahap paling rendah. Saya sendiri pun memang tak faham mengapa menteri kita buat keputusan begitu

“Apatah lagi membawa masuk guru-guru yang lebih lemah dan lebih rendah berbanding kita bagi tujuan mengajar anak-anak kita," katanya.

Menjelaskan lanjut hal tersebut, Mahmmod menafikan kehadiran guru-guru dari Arab Saudi itu bertujuan mengajar murid sekolah, sebaliknya mereka datang untuk belajar sistem pendidikan di Malaysia.

“Guru-guru Arab Saudi akan dihantar ke Malaysia untuk belajar daripada sistem pendidikan negara melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Mereka akan didedahkan dengan metod pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mereka bukan diupah untuk mengajar di murid-murid negara kita,” katanya.