Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada halangan ahli politik galas jawatan atasan PBT - Exco S'gor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DUN SELANGOR | Kerajaan Selangor tidak mempunyai halangan untuk melantik ahli politik bagi mengisi beberapa jawatan dalam agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata jawatan itu membabitkan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Timbalan Datuk Bandar, Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha di PBT.

"Bagaimanapun ahli politik yang dilantik untuk mengisi jawatan pengurusan atasan PBT tersebut perlu mempunyai pengalaman serta kelayakan dalam aspek pengurusan.

"Ini kerana ia membabitkan tanggungjawab besar, jadi banyak perkara perlu dipertimbangkan kerana untuk menguruskan sesebuah PBT bukan satu tugas mudah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer) berhubung pelantikan itu.

Mengulas lanjut, Ng berkata kerajaan negeri juga tidak menetapkan sebarang mekanisme bagi melaksanakan pertukaran pengurusan atasan daripada satu PBT ke PBT lain kerana tertakluk kepada keperluan semasa selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Bagi pegawai PBT selain pengurusan atasan, pergerakan atau pertukaran pegawai hanya dilaksanakan dalam PBT masing-masing," katanya.

- Bernama