Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenyataan 'ini tak lama lagi akan selesai' MB Perak tarik perhatian Zaid

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menjadi perhatian selepas video yang merakam rungutannya berkenaan keseorangan dalam melawan DAP muncul minggu lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankannya dengan berkata Faizal ketika itu sedang memberi penjelasan kepada golongan "nelayan yang agresif" yang percaya DAP mengawal Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun bagi anggota DAP Zaid Ibrahim, ada satu bahagian lain dalam video itu yang mengundang perhatiannya.

Ia berkenaan kenyataan Faizal yang membayangkan penyelesaian terhadap masalah yang ada sudah hampir dicapai.

"Tapi apa namanya sebenarnya kita dah dekat, tak payah gaduh, sebenarnya ok. Sebenarnya benda ini sebenarnya benda ini tak lama lagi akan selesai...sebenar-benarnya tak nak cerita, kita paham-paham la," kata Faizal.

Menurut Zaid, beliau merasa ingin tahu tentang maksud Faizal, sambil membangkitkan pemimpin Bersatu itu juga berkata "kita juga bergantung kepada Sabah dan Sarawak, kalau tak Melayu jahanam."

"Saya tertanya-tanya sama ada ia membayangkan penjajaran semula kuasa politik?" soal bekas menteri itu.

Zaid memberitahu Malaysiakini berdasarkan perkembangan semasa, jelas Bersatu tidak mahu DAP sebagai rakan kerjasama.

"Malah jelas Bersatu tidak mahu DAP. Sudah tiba masanya DAP sedar akan perkara ini," katanya lagi.

Video Faizal dirakam ketika perbincangan tidak rasmi antaranya dengan sekumpulan penduduk di Pontian, Johor, di mana beliau berkempen untuk PH bagi PRK Tanjung Piai.

Turut ada ketika itu ialah calon PH Karmaine Sardini.

Kenyataan Faizal mengundang kecaman keras daripada Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang antara lain menyifatkan beliau tidak layak untuk menjadi menteri besar.

Bagaimanapun Farhash enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan penjelasan Mahathir.

"Saya yakin pimpinan tertinggi Bersatu telah mengendalikan perkara itu menurut yang difikirkan sesuai dan saya tida mahu sebarang keadaan tidak harmoni dalam PH.

"Sebarang komen lanjut perlu datang daripada menteri besar sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, Faizal juga dijangka menjelaskan satu lagi video yang disebarkan, yang menunjukkan seorang lelaki memakai baju dan topi BN mendakwa beliau ada membincangkan kemungkinan Bersatu keluar daripada PH.

"Ahmad (Faizal) sedang dalam mesyuarat kerajaan negeri. Beliau akan memberi respons selepas ini," kata pembantunya Adie Surie Zulkefli kepada Star Online.