Skip to main
Logo Malaysiakini

'Isu permit kempen rumah ke rumah dah diingatkan berulang kali'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Isu keperluan permit terhadap semua kempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, termasuklah kempen dari rumah ke rumah telah dijelaskan oleh pihak polis sejak hari pertama selepas penamaan calon pada 2 November lagi.

Malah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong, sebelum peringatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun pada 12 November, perkara itu sudah dijelaskan beberapa kali oleh polis kepada wakil pihak bertanding, khususnya mengenai kempen dari rumah ke rumah.

Kata Liew (Warisan - Batu Sapi), dalam mesyuarat yang turut dihadiri ejen pilihan raya bagi calon dan parti yang bertanding pada hari penamaan calon itu, polis juga telah meminta semua jenis aktiviti dinyatakan secara jelas dalam borang permohonan permit kempen pilihan raya yang disediakan.

Jelas Liew, pada 9 November, peringatan sekali lagi diberikan tentang permit khususnya berkaitan kempen rumah ke rumah dalam perjumpaan antara ketua polis daerah Pontian bersama anggota pasukan penguatkuas kempen yang turut dihadiri wakil parti dan calon bebas.

“Perkara ini dah diterima dan difahami oleh wakil parti dan calon bebas untuk disampaikan kepada calon dan parti masing-masing,” katanya dalam waktu pertanyaaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Liew berkata demikian sebagai menjawab soalan Azalina Othman Said (BN- Pengerang) yang meminta penjelasan kerajaan dalam menetapkan permit untuk kempen rumah ke rumah, sedangkan ia amalan biasa dalam pilihan-pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu, Liew menambah bahawa penerangan isu sama, khususnya berkenaan permit kempen rumah ke rumah, diterangkan sekali lagi dalam perjumpaan seumpamanya pada 11 November.

Sejak peringatan yang dibuat oleh Azhar pada 12 November, bahawa semua pihak bertanding perlu mendapatkan permit polis untuk kempen rumah ke rumah, beberapa pihak menyatakan bantahan mereka, baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang.

Malah, badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 juga mengkritik langkah itu dan meminta polis agar tidak “melampaui batasan” yang ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Pembangkang juga dilaporkan akan memfailkan usul di Dewan Rakyat hari ini berkenaan hal itu, dan akan mencabar SPR di mahkamah mengenai isu sama.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga meminta polis untuk melonggarkan keperluan permit kempen rumah ke rumah untuk PRK itu memandangkan jentera kempen perlu bertemu dengan seramai penduduk yang boleh bagi merayu undi.

Ulas Liew, meskipun tiada peruntukan khusus berkenaan permit rumah ke rumah, polis mempunyai kuasa tersirat untuk menetapkan syarat permit itu bawah Seksyen 40 Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan permit boleh mengenakan syarat-syarat yang munasabah, termasuklah atas pertimbangan ketenteraman dan keselamatan.

Menurut Liew lagi, sehingga semalam, 562 permit telah dipohon dan daripada itu, 101 permit yang diluluskan adalah permit untuk kempen rumah ke rumah.

Malah tambahnya, daripada jumlah itu, sebenarnya 42 permit kempen rumah ke rumah telah diluluskan oleh polis sejak hari pertama kempen lagi, sebelum isu itu berbangkit sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, menjawab tambahan Noor Azmi Ghazali (PH- Bagan Serai) sama ada isu permit rumah ke rumah itu turut ada “diwarwarkan” dalam lapan PRK yang lepas, Liew mengakui perkara itu tidak dikuatkuasakan.