Skip to main
Logo Malaysiakini

MPKR diperkasa hadapi peningkatan ketegangan kaum

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Susulan negara dilanda mesej kebencian, rasisme dan agama, kerajaan mengambil langkah memperkasakan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) bagi membincang dan memberi nasihat kepada menteri untuk mengurangkan ketegangan antara kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, berkata aspek itu diberi keutamaan kerana masalah polarisasi kaum dan kecenderungan untuk melihat isu-isu dari segi perkauman kini mencapai tahap yang membimbangkan.

"Malaysia kini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mempertingkatkan perpaduan negara.

"Mesej-mesej kebencian kaum dan agama sering dilaungkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan melalui media sosial pada setiap masa.

"Situasi ini bakal menjadi cabaran terbesar untuk digalas ahli-ahli majlis yang baharu dilantik hari ini," katanya.

Ucapan Waythamoorthy itu dibaca Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Baharin Idris, di majlis pelancaran dan penyampaian watikah pelantikan ahli MPKR sesi 2019-2022.

Untuk rekod, sebelum ini badan tersebut dikenali sebagai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Tak dipertimbangkan dulu

Kata anggota Dewan Negara itu, ahli MPKR perlu lebih proaktif serta berhemah mendepani isu-isu berkenaan bagi memastikan perpaduan negara tetap utuh setiap masa.

"Selain menasihati menteri, mereka juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk memerangi cabaran yang kita hadapi, mengurangkan ketegangan kaum dengan matlamat menyeluruh untuk memperkukuhkan perpaduan negara," katanya.

Ahli MPKR terdiri daripada 14 orang yang datang dari pelbagai latar belakang membabitkan ahli politik, akademik, penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO), wakil media, wakil masyarakat minoriti dan wakil belia.

"Badan ini akan berfungsi sebagai sebuah entiti berkecuali sepenuhnya tanpa rasa takut dan terbatas, demi memastikan wujudnya sebuah bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu.

"Saya percaya, dengan kebijaksanaan dan kredibiliti setiap ahli yang dilantik, MPKR ini mampu memainkan peranan penting sejajar dengan harapan kerajaan PH mahu meningkatkan keutuhan hubungan antara semua masyarakat di Malaysia, termasuk dari komuniti minoriti," katanya.

Menurut Waythamoorthy, sebelum ini MKPN menjadi medan untuk anggotanya berunding sehingga terhasil tiga draf rang undang-undang (RUU) berkaitan keharmonian nasional terutamanya dalam mencegah jenayah kebencian dan mewujudkan rekonsiliasi.

"Namun sebagaimana yang diketahui umum, kesemua cadangan RUU tersebut tidak dipertimbangkan oleh kerajaan terdahulu," katanya.