Prabakaran enggan lepas tugas separuh jalan
Berdepan gesaan 14 NGO supaya melepaskan jawatannya, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, hari ini menegaskan beliau tidak berhasrat melepaskan tugasnya di pertengahan jalan.
Katanya sebagai ahli parlimen PKR beliau ingin terus menyumbang tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.
"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa membiarkan mereka di pertengahan jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berita Harian semalam melaporkan, sekumpulan 14 NGO mencadangkan Prabakaran meletak jawatan dan memberi jalan kepada bekas wakil rakyat kawasan itu , Tian Chua, untuk bertanding semula melalui pilihan raya kecil.
Wakil NGO itu, Mohd Helmie, dipetik sebagai berkata, Tian wajar diberikan hak dan peluang semula untuk kembali mewakili pengundi di kawasan Batu.
Katanya cadangan itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov lalu yang membuat ketetapan bahawa pelucutan hak pencalonan Tian sebagai calon pada oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah.
Keputusan itu menjadikan Tian layak bertanding dalam pilihan raya.
Tian merupakan ahli parlimen Batu selama dua penggal sebelum kelayakannya dibatalkan pada hari penamaan calon PRU tahun lalu.
Keluar tanpa pengetahuan
Perkembangan itu mendorong PH memberikan sokongan kepada Prabakaran. Apabila keputusan diumumkan Prabakaran, 23, diumum sebagai pemenang. Beliau kemudian menyertai PKR.
Malaysiakini hari ini melaporkan, Tian menafikan beliau terlibat dalam gesaan tersebut.
Menurut Prabakaran beliau mengambil sikap positif dengan desakan berkenaan dan menegaskan tugasannya sebagai ahli parlimen Batu tidak akan terjejas.
Katanya pengundi di kawasan Batu mahukah seorang wakil rakyat muda yang bersemangat menyelesaikan masalah mereka, dan ia sedang diusahakannya secara beransur-ansur.
“Saya berinteraksi dengan pengundi setiap hari. Mereka memang inginkan seorang pemuda yang bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka lalui selama ini.
“Banyak program dan aktiviti dijalankan di kawasan Batu.
"Saya sedang menyelesaikan masalah mereka secara beransur-ansur dan dapat menyelesaikan beberapa masalah rumit yang dihadapi pengundi saya dalam tempoh yang singkat.
“Saya bertekad untuk memberikan penyelesaian terbaik dalam beberapa isu yang sedang ditumpukan sekarang,” katanya.
Sementara itu, dua persatuan penduduk di Batu hari ini juga menafikan mereka sebahagian daripada 14 NGO terbabit.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Nasir Baba, kenyataan yang dilaporkan itu dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai