Skip to main
Logo Malaysiakini

Itu tanda Rafizi tak berebut jawatan, kata Anwar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta naib presiden parti itu, Rafizi Ramli, diberikan lebih masa untuk memikirkan keputusannya yang tidak berminat kembali aktif dalam politik dalam masa terdekat.

Hal itu, katanya, agar Rafizi dapat berfikir dengan tenang dan tidak membuat keputusan secara gopoh.

Menyamakan situasi Rafizi dengan anaknya, Nurul Izzah, yang meletak jawatan sebagai naib presiden parti akhir tahun lalu, kata Anwar, kedua-duanya dapat merasai 'kekacauan' sedangkan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih positif berlaku.

"Rafizi kata dia tidak mahu aktif politik selepas keputusan mahkamah. Dia banyak membantu dan saya faham dia seperti Nurul Izzah.

"[...] Beri mereka fikir dahulu. Kita berikan masa sedikit kerana sikap ini berbeza daripada orang yang berebut-rebut jawatan dan kekayaan," katanya di Kulim seperti dipetik Sinar Harian.

Terdahulu Rafizi mengatakan dia tidak berniat kembali aktif dalam politik selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) 15 Nov lalu. 

Bekas anggota parlimen Pandan itu sebaliknya membayangkan dia mahu terus menjadi "orang biasa" dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Masalah utama orang politik baik BN dan sekarang PH apabila menang jadi kerajaan, dia tak hidup seperti orang biasa, dia jadi lupa daratan, terpisah dari realiti.

“Jadi saya rasa masa PH berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa, cari makan macam orang biasa,” kata Rafizi kelmarin.


Baca Rakyat sedang menilai PH, kata Johari


Bagaimanapun, apabila mengulas sama ada dia bersedia kembali membantu Anwar dalam kancah politik negara, Rafizi berkata hal itu terpulang kepada Anwar.

Sementara itu, Anwar turut meluahkan penghargaan buat Rafizi dan Nurul Izzah yang menurutnya banyak memberi sumbangan besar kepada parti berdasarkan kepakaran masing-masing.

Kerana dijatuhkan hukuman tersebut pada 2012, Rafizi tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Dia juga gagal menyingkirkan timbalan presiden timbalan presiden Azmin Ali dalam pemilihan parti pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Rafizi kemudian dilantik sebagai naib presiden. Sejak itu Rafizi mengekalkan profil rendah sejak itu.