Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Tanjung Piai prestasi terburuk parti kerajaan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nota editor: Artikel ini tidak mengambil kira pilihan raya kecil untuk dewan undangan negeri dan majlis perundangan persekutuan.

Tanjung Piai mencatat rekod sebagai prestasi terburuk dalam pilihan raya kecil (PRK) untuk mana-mana gabungan parti kerajaan di Malaysia.

Sejak tahun 1959, gabungan parti kerajaan memperoleh purata 56.25 peratus undi dalam 61 PRK yang disertai.

Angka ini tidak mengambil kira PRK yang dimenangi tanpa bertanding.

Bagi PRK Tanjung Piai, peratus undi diperoleh Pakatan Harapan berada di bawah purata itu, iaitu hanya pada 26.4 peratus.

Rekod terburuk paling hampir bagi gabungan parti pemerintah adalah pada 1988 semasa PRK Johor Bahru, yang menyaksikan BN meraih hanya 29.8 peratus undi.

Bagaimanapun, harus diperhatikan bahawa pada 1988, BN menghadapi perselisihan dalaman selepas Umno dibubarkan dan juga berdepan kritikan susulan Operasi Lalang.

Terdapat 72 parlimen yang menyaksikan PRK sejak parlimen pertama dibentuk pada tahun 1959. BN dan pendahulunya, Perikatan, memenangi 50 daripada PRK itu (69.4 peratus).

Daripada 72 PRK parlimen, 25 berlangsung semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir adalah perdana menteri antara 1982 dan 2003. Dalam tempoh itu, beliau memenangi lima pilihan raya umum.

Sebagai pengerusi PH, Dr Mahathir memenangi satu lagi PRU tahun lalu. Secara keseluruhannya, gabungan parti pemerintah di bawah Dr Mahathir menang 16 PRK dan kalah sembilan PRK.

Pada PRK Lipis 1997 BN menang tanpa bertanding.

Daripada 24 kerusi parlimen yang menyaksikan PRK, gabungan parti pemerintah yang diterajui oleh Dr Mahathir secara purata menguasai 54.37 peratus daripada jumlah undi.

Daripada empat PRK parlimen yang diadakan semasa pemerintahan kedua Dr Mahathir, PH memperoleh purata 53.54 peratus undi.

Ini bermakna peratus undi yang diperoleh PH adalah di bawah purata sepanjang beliau menerajui mana-mana gabungan parti pemerintah.

Untuk perbandingan, rekod Najib Razak sebagai peneraju BN dalam PRK adalah enam menang, dan dua kalah. Abdullah Ahmad badawi pula kalah dalam tiga PRK parlimen.

[Baca berita asal]