Speaker lulus permohonan Adun Gadek tak hadir sidang DUN Melaka
Speaker Dewan Udangan Negeri Melaka (DUN) Datuk Omar Jaafar hari ini meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan untuk tidak hadir pada persidangan DUN Melaka.
Omar berkata, beliau telah menerima permohonan Saminathan (DAP-Gadek) untuk tidak hadir persidangan DUN itu yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini.
"ADUN Gadek telah mengemukakan permohonan untuk tidak menghadirkan diri dalam persidangan dan permohonan beliau saya luluskan, semoga Yang Berhormat dalam keadaan sihat," katanya ketika berucap pada persidangan DUN itu di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka, hari ini.
Pada 29 Okt lepas, Saminathan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pukul 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov, 2018.
Ketua Pembangkang DUN Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) kemudian bangun mencadangkan perkara itu perlu dibincangkan menerusi usul kepada dewan, bagaimanapun Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Bandar Hilir) membantah cadangan itu kerana ucapan Speaker DUN Melaka tidak boleh dibahas.
Ini menimbulkan sedikit kekecohan dalam kalangan Adun Pakatan Harapan dengan Idris, yang mana Omar kemudian menegaskan keputusan itu adalah muktamad dan kemudian menangguhkan persidangan itu untuk sementara waktu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai