'Kosmetik timbang kilo': Dengarlah nasihat ahli farmasi ini
Cantik memang cantik, tetapi lama-lama badan rosak. Begitu bahayanya penggunaan produk ‘kosmetik timbang kilo’, menurut ahli farmasi Siti Hawa Mohd Nor.
Bahkan lama kelamaan, kata sensasi alam maya itu, ia boleh merosakkan bukan sahaja muka, tetapi juga saraf dan buah pinggang.
“Produk yang dipanggil timbang kilo mengandungi bahan terlarang sama ada original ataupun tidak.
“Tubuh badan setiap individu mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap produk yang digunakan. Bergantung kepada tempoh penggunaan.
“Ada yang mendapat kesan negatif yang teruk, ada yang sederhana, ada yang tidak mendapat sebarang kesan negatif langsung di wajah.
“Kalau tidak kesan di wajah, sampingan dia boleh berlaku melalui seperti kerosakan saraf dan buah pinggang. Kita tidak nampak apa yang berlaku di dalam.
“Adakah berbaloi menjadikan diri sendiri sebagai bahan uji kaji untuk bahan yang telah terbukti bahaya?” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Siti Awe.
Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, Siti Hawa yang pernah berkhidmat di hospital kerajaan selama empat tahun mengingatkan pengguna berhati-hati dengan kandungan terlarang dalam produk digunakan.
Antaranya, kata dia, merkuri, hidrokinon dan tretinoin walaupun boleh mencantikkan buat sementara waktu.
“Dalam jangka masa pendek memang boleh memberikan kesan yang diingini oleh para pengguna terutama sekali wanita,” katanya.
“Kulit jadi mulus, tiada jerawat, jeragat dan masalah kulit yang lain menjadi putih disebabkan merkuri menghalang penghasilan melaanin yang bertanggungjwab untuk menghasilkan warna kulit.”
Dia mengingatkan, pengguna perlu segera berjumpa pakar kulit untuk mendapatkan rawatan jika kulit muka menjadi teruk seperti ditumbuhi jerawat di seluruh wajah dan kulit menipis.
“Rawatan yang diberikan bergantung mengikut kesesuaian dan keadaan kulit individu.
“Antaranya ialah ubat makan antibiotik, ubat hormon dan ubat yang dipanggil isotretinoin. Penggunaan ubat ini perlu mendapatkan preskripsi dan pemantauan daripada doktor,” katanya lagi.
Berdasarkan pengalamanbnya sendiri, Siti Hawa berkata dia pernah bertemu dengan pesakit yang muka dipenuhi jerawat nanah yang teruk dan menggelupas akibat menggunakan produk berbahaya itu.
Dia yang juga lebih mesra dengan panggilan Siti Awe berkata pengguna boleh memeriksa
nombor sesuatu produk dengan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA) terlebih dahulu sebelum membelinya.
Berkaitan
Jangan ghairah nak cepat putih dan gebu, nasihat Siti
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai