Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-3: Draf akhir laporan audit 1MDB diberi pada Najib, Arul Kanda dan 4 yang lain

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Kes perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1DMB, K Arul Kanda berhubung pindaan laporan audit 1MDB masuk hari ketiga hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Perbicaraan bersambung esok

2.07 petang: Mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini dan dijangka disambung semula pada pukul 10 pagi esok.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga mengingatkan semua pihak supaya tiba tepat pada masanya kerana beliau mahu mengotakan janji untuk menangguhkan pendengaran pada jam 2 petang pada minggu ini.

Terdahulu, mahkamah juga diberitahu bahawa Zaini membenarkan permohonan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengosongkan perbicaraan pada Jumaat ini dan pada hari Isnin dan Selasa depan.

Ini selepas timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram dan pasukan pembelaan Najib Razak yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah mempunyai kes di mahkamah yang lebih tinggi pada masa itu.


Draf akhir laporan audit 1MDB diberikan kepada Najib, Arul Kanda dan 4 yang lain

1.55 petang: Saksi memberitahu mahkamah bahawa pasukan khas di bawah Jabatan Audit Negara (JAN) yang ditugaskan untuk mengaudit 1MDB telah menghantar draf akhir laporan mereka untuk dicetak pada 20 Feb 2016.

Pengarah Jabatan Audit Negara (sektor tadbir urus) Nor Salwani Muhammad berkata sejumlah 60 salinan telah dicetak, dan ia dibawa ke Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan untuk disimpan pada 21 Feb 2016.

Laporan itu dicetak untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, katanya.

Menurut Salwani, beliau mengambil 10 salinan pada hari berikutnya. Enam salinan diberikan kepada Ambrin manakala empat yang lain disimpan di dalam peti keselamatan JAN.

Berdasarkan senarai yang diedarkan, beliau memberitahu mahkamah bahawa Ambrin menyimpan salah satu salinan dan lima yang lain kemudiannya diagihkan pada hari yang sama kepada lima orang.

Mereka adalah Perdana Menteri Najib Razak, ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, dan bekas Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa dan Dzulkifli Ahmad (ketika itu pegawai dari Jabatan Peguam Negara).

Salwani memberi keterangan bahawa semua salinan lain telah dimusnahkan, kecuali satu salinan yang diserahkan kepada SPRM pada 2 Nov 2018.


Audit 1MDB bermula Mac 2015

1.40 tengah hari: Pihak pendakwaan memanggil saksi kelima, Pengarah Jabatan Audit Negara (sektor tadbir urus) Nor Salwani Muhammad untuk memberikan keterangan.

Membaca dari kenyataan saksi yang disediakan, beliau memberitahu mahkamah bahawa Ketua Audit Negara, Ambrin Buang ketika itu telah mengarahkan audit  dijalankan ke atas 1MDB dan syarikat-syarikatnya pada 9 Mac 2015.

Keputusan Ambrin ini susulan arahan Kabinet pada 5 Mac 2015 agar jabatan itu mengesahkan akaun 1MDB dan semua laporan yang berkaitan dengan syarikat itu diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Menurut saksi itu, beliau telah dilantik oleh Ambrin sebagai penyelaras pasukan khas audit 1MDB. Pasukan itu diketuai oleh bosnya Saadatul Nafisah.


Pasukan peguam Najib tangguh pemeriksaan balas terhadap bekas ketua setiausaha negara

1.36 petang: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pasukan pembelaan Najib Razak menangguhkan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa.

Ini kerana pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memuktamadkan transkrip rakaman audio tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016 itu.

Mesyuarat ini antaranya melibatkan Ali, Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda berhubung keputusan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mahukan penangguhan kerana transkrip perlu itu dimuktamadkan sebelum pembelaan boleh menyediakan soalan cadangan kepada Ali.

Peguam utama Arul Kanda, N Sivananthan bersetuju dengan cadangan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram kemudian memberitahu mahkamah bahawa semua pihak akan bekerjasama untuk memuktamatkan versi akhir transkrip berkenaan.

Sebelum itu, Shafee membangkitkan isu antara lain beberapa bahagian transkrip yang ada sekarang mempunyai kesilapan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersetuju dan membenarkan Ali untuk sementara waktu tidak berada di kandang saksi.


Dokumen dicarik untuk pastikan hanya satu versi laporan akhir audit 1MDB kekal

1.28 petang: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa memberi keterangan bahawa beliau mencadangkan untuk mencarikkan salinan lain audit 1MDB untuk memastikan hanya ada satu versi.

Saksi itu memberitahu timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram perkara itu semasa pemeriksaan utama.

Sri Ram: Anda sebut dalam rakaman (audio) mengenai mencarik dokumen itu. Apakah maksud cadangan ini?

Ali: Kerana kesimpulan akhirnya (mesyuarat 24 Feb 2016) tidak boleh ada dua atau tiga versi. Apa-apa versi akhir yang dipersetujui harus digunakan.

Sri Ram kemudiannya mengakhiri pemeriksaan utama.

Mahkamah diberitahu keputusan untuk meminda laporan audit akhir 1MDB seperti didakwa dibuat semasa mesyuarat yang melibatkan antaranya Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; Ketua Audit Negara Ambrin Buang dan Ali pada 24 Feb 2016.


Mahkamah selesai dengar rakaman audio

1.25 tengah hari: Mahkamah selesai mendengarkan rakaman audio berhubung mesyuarat yang dikatakan untuk meminda laporan akhir audit 1MDB.


12.29 tengah hari: Prosiding disambung semula, dengan mahkamah membenarkan rakaman audio mesyuarat yang membincangkan laporan akhir audit 1MDB pada 2016 diputarkan semula.


12.02 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat seketika, dengan rakaman audio turut dihentikan buat sementara waktu.


Firma dikaitkan dengan Jho Low dibangkitkan dalam mesyuarat

11.35 pagi: Firma yang dikaitkan dengan Jho Low, Good Star Limited dibangkitkan dalam mesyuarat berhubung laporan akhir audit 1MDB pada 2016.

Ini dapat didengar dalam rakaman audio mesyuarat itu, dipercayai pada 24 Feb tahun itu, di mana keputusan dibuat untuk menghapuskan isu-isu kontroversi tertentu yang dikaitkan dengan laporan akhir audit 1MDB.

Suara yang membangkitkan isu itu dipercayai adalah milik Saadatul Nafisah, yang bersama Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, yang mewakili Jabatan Audit Negara dalam mesyuarat tersebut.

Berdasarkan rakaman audio, satu lagi suara dipercayai CEO 1MDB ketika itu, K Arul Kanda kedengaran menjelaskan perkara berkenaan.


Bunyi pertengkaran dapat didengar dalam rakaman mesyuarat

11.06 pagi: Ketika pihak pendakwaan memutarkan rakaman audio di mahkamah, yang panjangnya kira-kira satu jam empat puluh lima minit, bunyi pertengkaran boleh didengar daripada audio mesyuarat itu yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan audit 1MDB pada 2016.

Ia boleh didengar daripada mereka yang hadir mesyuarat itu, termasuk seorang wanita dipercayai pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah berdebat antara satu sama lain.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang mereka bincangkan secara khusus, kerana rakaman audio itu tidak begitu jelas.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dan peguam dibantu oleh transkrip rakaman, yang tidak disediakan kepada pihak media.

Berdasarkan pemerhatian pada bahagian transkrip rakaman audio yang ditunjukkan pada skrin yang agak jelas di Mahkamah Tinggi, dapat dilihat perbalahan antara bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda.


Saksi kenal pasti suara mereka yang hadir mesyuarat

10.45 pagi: Mahkamah terus mendengar rakaman audio yang dikatakan berkaitan dengan pindaan laporan audit 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram pada masa ini menghentikan rakaman seketika untuk meminta saksi mengenal pasti suara individu yang mereka dengar.

Saksi, iaitu bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, setakat ini mengenal pasti suara bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang, pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah, Mohd Isa Hussain (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan Shukry Mohd Salleh (bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak).

Menurut keterangan Ali Hamsa semasa pendengaran semalam, mesyuarat itu berlaku pada 24 Feb 2016.

Ali hari ini memberi keterangan bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat itu, dan mendakwa ia dilakukan atas arahan Najib yang mahu koordinasi mengenai laporan audit 1MDB.


Ali Hamsa sahkan suaranya dalam rakaman audio

10.20 pagi: Bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa mengesahkan suaranya dalam rakaman audio mesyuarat yang dikaitkan dengan pindaan laporan akhir audit 1MDB ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Ali dan bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, menghadiri mesyuarat itu pada 24 Feb 2016, di mana keputusan dibuat untuk menghapuskan empat isu daripada laporan audit berkenaan.

Antara isu itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dalam mesyuarat lembaga 1MDB yang dikaitkan dengan penangguhan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB.


Pendakwaan mainkan rakaman audio mesyuarat 

10.16 pagi: Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram mengemukakan pen drive di mahkamah tinggi yang dikatakan mengandungi rakaman audio mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Rakaman audio itu kemudian diputarkan di mahkamah.


Prosiding bermula apabila Najib, Arul Kanda memasuki kandang tertudung

10.15 pagi: Prosiding bermula, dengan Najib Razak dan Arul Kanda memasuki kandang tertuduh.

10.00 pagi: Kedua-dua tertuduh, bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilihat berada di mahkamah sambil menunggu perbicaraan bermula.

Juga dilihat berada di mahkamah ialah peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama Arul Kanda, N Sivananthan dan DPP Gopal Sri Ram.


Hari ketiga perbicaraan terhadap Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, K Arul Kanda berhubung pindaan laporan audit 1MDB dijangka menyaksikan lebih banyak pendedahan mengejutkan daripada bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa.

Ali yang disenaraikan sebagai saksi pendakwaan keempat, dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Beliau memberikan keterangan sebaik sahaja penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Muhamad Akmaludin Abdullah yang merupakan saksi pendakwaan ketiga, selesai memberikan keterangannya.

Pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram memberikan tamparan hebat kepada pihak pembelaan semalam, dengan saksi itu memberi keterangan bahawa Najib didakwa mengarahkan saksi tersebut pada 22 Feb 2016, untuk mengadakan pertemuan dua hari kemudian bagi membincangkan pindaan kepada laporan audit 1MDB.

Bekas pegawai tinggi kerajaan itu juga memberitahu mahkamah semalam bahawa Peguam Negara, Abdul Gani Patail dipecat pada tahun 2015 kerana antara lain bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Pada 2015, Muhyiddin dilaporkan disingkirkan daripada kabinet kerana mempersoalkan isu berkaitan dengan skandal 1MDB.

Prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan akan disambung sekitar pukul 10 pagi ini dan Ali dijangka akan melalui pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa raya.