Skip to main
Logo Malaysiakini

20 Dis pendengaran warta notis lucut harta MCA Pahang, GBG1M

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Dis untuk pendengaran permohonan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang RM835,258.19 yang disita daripada MCA Pahang.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, T. Kavita.

"Pihak kami akan memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya satu perintah untuk mewartakan notis pihak ketiga dikeluarkan mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Beliau berkata mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi pendengaran mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M) berjumlah RM170,000.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Kenlow Hai Liang mewakili MCA Pahang manakala GBG1M pula diwakili peguam Tabian Tahir.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

- Bernama