Skip to main
Logo Malaysiakini

Redzuan berpeluang tinjau 'kereta terbang'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Mohd Yusof berpeluang meninjau secara peribadi kenderaan udara dengan pemandu 'Dron Super' selepas mendapat undangan daripada syarikat tempatan Eastcap Bhd yang melakukan usahasama dengan rakan kongsi asing.

Usahawan itu juga melakukan pembentangan rancangan syarikat kepada menteri untuk membangunkan 10,000 unit kenderaan itu setahun dengan 2,000 peluang pekerjaan.

Dalam satu kenyataan hari ini kementeriannya berkata: "Lawatan tertutup (private viewing) ke atas usahawan seperti ini merupakan satu amalan biasa dijalankan oleh kementerian dan agensi bagi melihat dengan lebih dekat kemampuan usahawan."

"Sebagaimana yang banyak dilaporkan oleh media sebelum ini, kementerian juga telahpun memberikan sokongan dan fasilitasi berkaitan kepada beberapa projek dron dan air mobility (pengangkutan udara) yang dijalankan oleh syarikat tempatan dan luar negara."

Sementara itu, Redzuan berkata kementeriannya akna terus menyokong pembangunan usahawan kecil dan sederhana yang berinovasi tinggi.

"Sebagai kementerian yang menerajui pembangunan keusahawanan, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan terus menyokong dan memudah cara pembangunan usahawan PKS yang berinovasi tinggi, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) – di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aero angkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal," kata menteri.

Beliau memuji projek baaru itu yang merupakan inisiatif swasta yang tidak memerlukan sebarang komitmen kewangan daripada kerajaan.

"Projek seumpama ini dapat menggalakkan lagi aktiviti R&D dalam industri aeroangkasa dan air mobility menerusi usahasama antara syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa dalam bidang assembly dan pembuatan komponen dan bahagian serta menggunakan teknologi terkini merangkumi big data, artificial intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT).

"Ianya merupakan inisiatif swasta (private driven initiative) yang tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada pihak kerajaan," kata Redzuan lagi.

Semalam, Redzuan menjelaskan 'kereta terbang' buatan China yang akan diuji bukanlah kenderaan angkutan udara pertama Malaysia tetapi produk firma China yang melihat peluang beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata inisiatif usahawan tempatan berlainan sedang dibangunkan di Jepun tetapi masih belum bersedia.

Sementara itu, Redzuan juga berkata pada hari ini pihak kementeriannya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)bagi memperkasakan perkembangan industri itu.

"Dalam hubungan yang sama, pihak kementerian juga sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai keperluan mewujudkan kerangka perundangan kondusif dan holistik bagi menyokong perkembangan industri ini di samping memperkasakan ekosistem sedia ada," katanya.

Semalam, CAAM berkata sesi pandu uji kereta terbang oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menurut CAAM lagi, penerbangan ujian kenderaan yang sama, UAS E-Hang 216, telah dijalankan pada 15 Nov lalu tanpa kelulusan pihaknya dan perkara itu kini dalam siasatan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata kereta terbang yang diumumkan Redzuan merupakan sejenis dron dan perlu mendapat kelulusan CAAM sebelum diterbangkan.

Isnin lalu ketika persidangan Dewan Rakyat Redzuan memaklumkan akan menaiki kereta terbang yang dijadualkan hari ini.

Bagaimanapun, tidak jelas dalam tinjauan tertutup hari ini, Redzuan berpeluang menguji pandu 'kereta terbang' yang dimaksudkannya.