Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor tubuh jawatankuasa atasi masalah pencemaran sungai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan Johor akan mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelesaian Pencemaran Sungai sebagai langkah mengatasi masalah pencemaran sungai di negeri ini.

Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal berkata penekanan utama akan diberikan terhadap sungai-sungai tercemar yang kritikal seperti Sungai Skudai dan Sungai Tebrau di Johor Bahru.

“Antara inisiatif bagi mengatasi masalah pencemaran sungai adalah menambah tiga stesen pemantau kualiti air di Sungai Skudai, Sungai Ulu Sedili Besar dan Sungai Johor dengan kos RM500,000 setahun yang akan disalurkan kepada Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar di Iskanda Puteri hari ini.

Dr Sahruddin berkata inisiatif lain adalah pembelian dua bot pengutip sampah bagi pembersihan sungai secara fizikal dengan kos berjumlah RM3 juta di mana bot-bot tersebut akan digunakan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

Menurut Dr Sahruddin, bagi pihak kerajaan negeri, beliau menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan kepada Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas perkenan baginda mengurniakan semula insentif RM500,000 yang diterima pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2019 bagi tujuan membiayai pembelian bot pengutip sampah tersebut.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membuat pelaporan dan pemantauan berkala terhadap kilang, premis dan industri pengeluar sisa berjadual serta kimia.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) komited dengan menyediakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai bagi memastikan pembangunan guna tanah di sekitar kawasan sungai dikawal.

“Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) pula akan melaksanakan inisiatif kerja-kerja pemeliharaan sungai di negeri Johor dengan mengaplikasikan teknologi mikrob ‘J-Biotech Active’ yang berfungsi untuk memelihara dan meningkatkan kualiti air sungai.

“Teknologi mikrob ini mengandungi sembilan jenis mikro organisma dan perbelanjaan sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan kepada pihak J-Biotech bagi tujuan ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Majlis Pengangkutan Johor bagi memperkasa jaringan pengangkutan di negeri ini.

Beliau berkata majlis berkenaan bertindak sebagai penyelaras terhadap inisiatif-inisiatif strategik bagi tujuan perancangan pengangkutan yang holistik sejajar dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Johor 2015-2045 dan Dasar Pengangkutan Awam Negara 2019-2030.

Katanya bagi mengurangkan kos sara hidup pula, perkhidmatan Bas Muafakat Johor akan diperluaskan dengan penambahan 10 laluan baharu dengan melibatkan peruntukan tambahan RM4.3 juta dan kos keseluruhan RM29.1 juta, tahun depan.

Antara laluan baharu terbabit adalah dari Terminal Bas Mersing ke Endau di Mersing, Terminal Bas Kota Tinggi ke Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Terminal Bas Kluang ke Hentian Bas Renggam di Kluang, Terminal Bas Maharani ke Simpang Jeram di Muar dan Perhentian Yong Peng ke Kangkar Baru di Batu Pahat.

“Bagi menyokong penganjuran Tahun Melawat Johor 2020 dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020, kerajaan negeri akan memperkenalkan program ‘free ride bus’ yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2020.

“Ia memberi peluang kepada rakyat tempatan menggunakan Bas Muafakat Johor ke tempat-tempat menarik di negeri ini dan ke lokasi-lokasi pertandingan sepanjang temasya Sukma 2020 berlangsung dengan hanya mempamerkan kad pengenalan Malaysia sahaja,” katanya.

- Bernama