Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar kulit beri amaran keracunan raksa teruk seperti tragedi Minamata

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Di sebalik lambakan kosmetik tidak berdaftar dan kegilaan hendak putih dan gebu, pengguna diingatkan kepada bahaya bahan terlarang seperti raksa atau merkuri dalam produk yang dijual.

Mengungkap betapa bahayanya produk sebegitu, pakar kulit Tan Seng Giaw mengingatkan pengguna kepada tragedi paling buruk melibatkan pencemaran raksa yang berlaku di Jepun pada era 50-an.

“Di Jepun ada sejarah yang paling dahsyat membuktikan individu menerima kesan teruk disebabkan keracunan merkuri,” katanya yang juga seorang veteran DAP.

Menurut laman web Kementerian Kesihatan Jepun, tragedi pada 1956 itu mengakibatkan 17 orang meninggal dunia, dipercayai akibat pengambilan makanan laut dari sungai berdekatan yang tercemar.

Dalam tragedi penyakit Minamata itu, sebuah kilang berdekatan dipersalahkan kerana membuang sisa buangan raksa ke dalam laut.

Penghidap penyakit ini akan mengalami masalah sindrom neurologi, yang mempunyai simpton-simptom seperti ataksia, kebas kaki dan tangan, lemah anggota badan, gangguan penglihatan dan kerosakan fungsi pendengaran dan pengucapan.

Dalam kes teruk, penghidapnya boleh menjadi gila, lumpuh, koma dan meninggal dunia beberapa minggu setelah menghidapnya.

Ia juga boleh menjejaskan bayi dalam kandungan.

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, Tan menasihatkan pengguna menghindari kosmetik tidak diiktiraf, yang lebih dikenali sebagai ‘produk timbang kilo’, walaupun terdapat ubat untuk mengubatinya.

“Kita memang ada ubat untuk merawat, yang penting sekali kena elak dari penggunaan bahan tersebut,” katanya.

Tan Seng Giaw 

Beliau juga menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji lebih dalam mengenai kompaun-kompaun merkuri sama ada selamat digunakan untuk para pengguna atau tidak.

“Kita menyeru supaya KKM mengambil perhatian untuk mengesahkan bahan terlarang tersebut di pantau dengan baik kerana ada segelintir dari mereka tidak mendapat kesan langsung.

“Itu memang tugas dan tanggungjawab KKM untuk memantau penggunaan bahan beracun di negara ini.

“Kita kena cakap macam itu agar mereka memantau dan lebih munasabah,” katanya.

Keracunan raksa

Sementara itu, doktor kulit dan estetik Dr Alina Hasni pula berkata, kesan jangka masa panjang penggunaan kosmetik berbahaya itu boleh menyebabkan keracunan raksa.

Katanya, ia boleh berlaku berlaku apabila kandungan merkuri menyerap masuk ke dalam kulit melepasi saluran darah.

“Jadi dalam jangka masa panjang pengguna akan menghidapi (masalah) kegagalan buah pinggang, kerosakan sistem saraf, badan rasa lemah dan sakit-sakit pada bahagian tulang.

“Untuk mereka yang guna semasa mengandung ada risiko untuk dapat kecacatan pada bayi yang akan dilahirkan dan boleh menyebabkan kesuburan rahim berhenti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dr Alina Hasni, gambar ehsan https://www.dermalene.com

Pengalaman beliau sendiri, kata Alina, pernah bertemu dengan penyakit bermasalah okronosis atau perubahan warna tisu tertentu tubuh akibat penimbunan asid homogentistik.

Penimbunan ini berlaku akibat gangguan metabolisme.

Beliau menggesa pengguna menyemak dahulu sesuatu produk sama ada mempunyai pengiktarafan Amalan Pengilangan yang Baik (GMP).

Berkaitan
Jangan ghairah nak cepat putih dan gebu, nasihat Siti
'Kosmetik timbang kilo': Dengarlah nasihat ahli farmasi ini
‘3 bulan lawa, akhirnya 7 bulan aku merana’