Rakyat M'sia digantung atas kesalahan dadah di S'pura
Seorang rakyat Malaysia, Abd Helmi Ab Halim menjalani hukuman gantung di Penjara Changi hari ini selepas disabitkan atas kesalahan mengedar dadah pada 2017.
Pelaksanaan hukuman itu disahkan oleh Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N. Surendran.
Abd Helmi yang berumur 36 tahun ketika ditahan pada 9 April 2015, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 16.56 gram diamorphine pada 24 Mac 2017.
Petisyen pengampunan Abd Helmi ditolak pada Julai lepas.
Peguamnya, Mohamed Muzammil Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata, Abd Helmi meminta beliau membawa pulang mayatnya sebaik sahaja hukuman dilaksanakan.
“Ada rancangan untuk membawa pulang jenazahnya ke kampungnya di Johor. Tetapi, seperti yang saya katakan, tiada ahli keluarganya yang menghubungi saya,” katanya.
Dua hari lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menggesa Singapura supaya menunjukkan belas kasihan kepada Abd Helmi dengan mengatakan bahawa ia merupakan ketidakadilan dan tidak setimpal bagi keldai dadah menanggung nasib hukuman mati.
“Keadilan mesti dibalas dengan belas kasihan dan saya memohon agar Singapura melakukan sedemikian,” katanya dan menambah bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah, ‘kingpins’ dadah serta pengedar sebenar yang berselindung dalam urus niaga pengedaran dadah ini sepatutnya dibawa ke muka pengadilan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai