Kebakaran di tapak buang sampah haram di Kuala Selangor
Kebakaran berlaku di sebuah tapak pembuangan sampah haram dengan 270 tong bahan kimia di Kampung Tambak Jaya, Kuala Selangor awal pagi tadi.
Letupan turut berlaku di kawasan lapang berkeluasan 250 kaki persegi di Jalan Kapar Batu 16 itu.
Dalam kenyataan hari ini, Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata tiada kecederaan berlaku ekoran insiden itu.
"Kami terima panggilan kecemasan melalui talian Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor pada jam 3.29 pagi dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
"Jentera dari bomba Kuala Selangor dan Kapar dengan kekuatan anggota seramai 15 orang," kata bomba.
Katanya lagi, bomba mendapati berlaku kebakaran dan letupan melibatkan longgokan 270 tong bahan kimia yang ditinggalkan di kawasan tersebut.
"Bomba berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada jam 5.58 pagi. Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya lagi.
Bagaimanapun anggota bomba yang terlibat dihantar ke Hospital Kuala Selangor untuk pemeriksaan kesihatan.
Setakat ini bomba masih belum dapat mengesahkan jenis bahan kimia dalam tong tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai