Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi TAA: Kroni PH? Saya ahli seumur hidup MCA

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pertubuhan Alumni Warga KU TAR (TAA) menafikan dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa ia adalah kroni Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan hari ini, Presiden TAA Yap Kuak Fong berkata dia dan timbalannya Chan Wah Kiang ialah anggota seumur hidup MCA.

"Jadi bagaimana (TAA) ialah kroni PH?" soalnya, sambil mengecam pihak yang menurutnya memutar belit isu tersebut.

Sebelum ini, Najib dan Presiden MCA Wee Ka Siong mempersoalkan kebebasan TAA yang dipilih untuk menguruskan dana amanah RM30 juta untuk pelajar Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Mendakwa TAA pernah memberi sumbangan kepada Tabung Harapan, Najib antara lain mempersoalkan sama ada dana amanah tersebut untuk membantu pelajar atau "nak jaga kroni".

Wee pula mempersoalkan mengapa TAA, yang ditubuhkan pada 2012, dipilih untuk tugas itu di saat ada empat lagi persatuan bekas pelajar TAR UC sejak 1980.

"Adakah kerana TAA bebas atau cenderung ke arah Guan Eng?" soal Wee.

Persatuan bekas pelajar universiti itu termasuk Gabungan Persatuan Alumni Kolej Tunku Abdul Rahman (diasaskan pada 1989), Persatuan Alumni Kejuruteraan Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TEA, 1982), Persatuan Alumni Fakulti Seni & Sains Kolej Tunku Abdul Rahman (SAS, 1982), dan Persatuan Bekas Pelajar Fakulti Perniagaan Kolej Tunku Abdul Rahman (SBS, 1980).

"Wee mendakwa Gabungan Persatuan Alumni Kolej Tunku Abdul Rahman, yang memiliki tiga ahli iaitu TEA, SBS dan SAS, ada 116,000 anggota daripada pelbagai fakulti," kata Yap.

Tetapi beliau mendakwa gabungan itu hanya dianggotai pelajar daripada tiga fakulti, dengan keanggotaan setiap fakulti tidak lebih 500.

TAA pula mewakili 200,000 graduan daripada kesemua 13 fakulti kolej universiti itu, dakwanya.

"Ini ialah pertubuhan bebas. Dana amanah yang akan kami wujudkan akan diuruskan alumni yang tiada latar belakang politik, pemimpin NGO Cina dan wakil Kementerian Kewangan," katanya.

[Baca berita asal]