Skip to main
Logo Malaysiakini

Surat terbuka mohon keadilan untuk Zakaria

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN l Saya seorang biasa. Seorang biasa-biasa. Saya suka pada keadilan, iaitu "k" huruf kecil.Sebab itu saya jadi ahli parti PKR (Keadilan) iaitu "K" huruf besar.

Saya suka membela orang kecil-kecil jika orang kecil-kecil itu berdepan orang besar-besar. Itulah yang saya selalu lakukan di mahkamah dalam membela kaum pekerja yang dibuang, kaum setinggan yang diusir secara paksa dari rumah mereka atau anak-anak muda atau aktivis yang ditahan polis kerana berhimpun secara aman.

Demikianlah kehidupan sebagai seorang peguam biasa-biasa yang cinta pada keadilan. K huruf kecil.

Dalam parti Keadilan di mana K huruf besar, saya tak suka taksub kepada mana-mana pemimpin, atau kepada mana-mana puak. Saya selalu bebas dan neutral biasanya.

Duduk di tengah-tengah. Tetapi duduk di tengah-tengah biasanya bahaya dan tak selamat. Selalu kena langgar. Tetapi saya tak kisah. Daripada hidup condong kepada ketidakadilan lebih baik terkorban kerana pertahankan keadilan, k huruf kecil.

Ini berkisar soal disiplin, aduan, hukuman, pecat memecat anggota parti.Ini prinsip umum dari segi undang-undang yang saya selaku pengamal undang-undang ingin berkongsi.

Kalau tak cakap rasa tak sedap. Macam bersubahat pula. Ini merujuk kepada semua parti politik, bukan saja kepada parti politik yang saya membayar yuran keahlian dan membawa kad keanggotaan di dalam dompetnya. Parti saya ini namanya keadilan. Jadi mestilah adil. Kalau tidak malu saya pada diri saya sendiri.

Komen bukan-bukan

Dalam sehari dua ini saya dengar cerita ada anggota parti keadilan K huruf besar yang dipecat. Saya tak tahu duduk perkara atau orang putih kata tak ada privy dalam hal ini.

Jadi saya tak mahu komen yang bukan-bukan. Tak adil kepada lembaga disiplin, biro politik, majlis pimpinan pusat (MPP) dan juga presiden parti yang saya hormati.

Saya ingin gariskan perkara-perkara pokok sahaja iaitu seperti berikut:-

i) Orang yang dituduh mesti diberi sesalinan tuduhan secara bertulis;

ii) Orang yang dituduh mesti diberi peluang menjawab tuduhan itu secara bertulis. Masa tak kurang 14 hari wajar diberikan untuk menjawab;

iii) Satu tribunal yang bebas diadakan untuk membicarakan orang kena tuduh itu. Ini tugas Lembaga disiplin kena adakan prosiding perbicaraan dengan orang kena tuduh boleh bawa saksi dan juga dokumen untuk membela diri. Pihak pendakwaan dari lembaga disiplin juga berhak membawa saksi dan dokumen;

iv) Keterangan secara dengar cakap atau hearsay tak boleh dipakai. Kalau ada surat jadi bahan bukti, wakaupun surat itu datang dari pegawai SPRM, status surat itu masih bersifat hearsay jika pembuat surat itu tak dipanggil untuk beri keterangan;

v) Prinsip natural justice atau keadilan asasi iaitu mesti mendengar kedua-dua belah pihak adalah menjadi teras satu perbicaraan yang adil. Ringkasnya hak untuk membela diri.

Banyak jasa Zakaria

Saya tidak tahu hujung pangkal apa kesalahan Zakaria Hamid, ahli PKR yang jadi ketua cabang Bera di Pahang. Saya kenal Zakaria ni sejak lama dulu, berpuluh tahun sejak zaman reformasi dulu.

Saya nampak jasanya pada parti. Saya tak tahu apa salah dia. Saya tak berhajat untuk membela dia kerana saya kenal dia. Itu keadilan kroni atau keadilan pilih kasih namanya.

Kalau Zakaria benar-benar salah dari keputusan satu perbicaraan dalaman parti yang adil, maka hukumlah Zakaria, sahabat saya itu. Saya tutup mulut lepas itu.

Saya hendakkan keadilan diberi kepada Zakaria supaya beliau dapat hak membela diri. Keadilan asasi atau natural justice mesti diberi kepada Zakaria. Kalau tidak kita tak boleh panggil parti kita parti Keadilan, K huruf besar.

Saya terpaksa bercakap dalam hal ini kerana saya dengar suara Zakaria sayup-sayup bahawa dia tidak dapat membela diri. Sebagai seorang sahabat, misalnya jika dia melihat sahabatnya menjerit minta keadilan, tetapi dia berdiam diri sahaja, nyatalah dia telah melakukan omission kerana tidak berbuat apa-apa. Selepas itu dia tidak ada maruah lagi untuk bercakap soal keadilan.

Jadi Yang Arif Pengerusi Lembaga Displin PKR yang adil saya memohon keadilan untuk Zakaria Abd Hamid dan anggota lain parti yang dikenakan tindakan pemecatan sekarang ini.

Berikanlah perbicaraan yang adil untuk mereka. Tidak ada ruginya kita berbuat begitu, sebaliknya parti kita yang untung kerana akan dipandang tinggi oleh masyarakat umum dan anggota kita sendiri.

Jika mereka benar-benar bersalah selepas satu perbicaraan adil, maka hukumlah mereka.


HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan anggota PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.