Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU benarkan tanam ketum untuk tujuan penyelidikan di parlimen

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Penanaman tumbuhan psikoaktif seperti ketum dibenarkan hanya untuk tujuan penyelidikan namun memerlukan surat kebenaran yang dikeluarkan menteri kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut buku RUU yang diedarkan kepada media hari ini, pindaan itu antara lain bagi mewujudkan kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif yang merangkumi pelbagai proses seperti penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan dan pemilikan bahan terbabit.

“Ia memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai daripada badan berkanun menanam tumbuhan psikoaktif bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, eksperimen atau perubatan sahaja.

“Ia tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam surat kebenaran yang dikeluarkan Menteri,” menurut RUU itu.

Tujuan pindaan adalah untuk memperluaskan skop Akta 366 merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif, memperkemas kawalan ke atas aktiviti berkaitan racun dan bahan psikotropik serta mengemaskini Akta 366 agar selaras dengan keperluan semasa.

Penjara, denda jika tanam secara haram

Pindaan itu juga antara lain mencadangkan hukuman membabitkan denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan apabila menanam tumbuhan psikoaktif tanpa kebenaran atau secara haram.

Selain itu, turut terkandung dalam buku itu adalah Ketua Pengarah Kesihatan atau Pegawai Penguatkuasa Farmasi yang dilantik (Ketua Pengarah Kesihatan) akan diberi kuasa mengeluarkan kompaun bagi kesalahan berkaitan racun dan tumbuhan psikoaktif.

Di bawah seksyen baru 34A akta itu pula bertujuan melindungi mana-mana pegawai pelesenan, pegawai diberi kuasa, ahli Lembaga Racun, atau mana-mana orang yang bertindak atas arahannya daripada apa-apa tindakan atau pendakwaan sewaktu menjalankan tugas (mengeluarkan kompaun).

Selain itu, kementerian akan menetapkan prosedur mengeluarkan kompaun menerusi satu peraturan dan jumlah kompaun pula tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum bagi kesalahan berkaitan.

Menurut buku itu, selepas pindaan, Akta 366 akan dikenali sebagai Akta Racun dan Tumbuhan Psikoaktif 1952.

Selain itu, turut terkandung dalam pindaan adalah peruntukan baharu kawalan tumbuhan psikoaktif, fleksibiliti pembekalan dan penjualan racun, penjagaan hak pengguna atau pesakit mendapatkan ubat serta peningkatan penalti lebih deteren.

Pindaan juga antara lain berkaitan peningkatan penalti bagi kesalahan atau kecuaian hingga membahayakan nyawa manusia iaitu denda yang kini tidak melebihi RM200,000 atau pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya berkaitan Akta 366 ini.

Kerajaan sebelum ini kekal dengan pendirian tidak menggalakkan penanaman pokok ketum bagi dikomersialkan dan memutuskan untuk membuat pindaan Akta 366 merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif seperti pokok ketum serta mengkaji kaedah menangani perkara itu.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan kali ini yang berlangsung sehingga 5 Dis.

- Bernama