Kalau Chin Peng boleh balik, kenapa abunya tidak - Bekas IGP
Bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor mempertahankan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng dengan mengatakan pemimpin komunis itu bukan lagi menjadi suatu ancaman.
Abdul Rahim memberitahu Malaysiakini bahawa perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) telah berakhir sejak parti itu menandatangani Perjanjian Damai dengan kerajaan di Hatyai, Thailand pada Dis 1989.
"Perjanjian tu jelas tunjukkan yang sudah tu sudahlah.
"Negara kita menghadapi masa depan berdamai. Dan memang sejak benda itu ditandatangani, tidak ada langsung (ancaman komunis), kecuali you boleh semak dengan SB (cawangan khas), tunjukkan orang komunis nak tubuh parti komunis baru.
"Bagi saya tanpa dalil-dalil seperti saya maksudkan (tak perlu ungkit lagi), dunia dah tolak komunis," katanya ketika dihubungi.
Abdul Rahim berkata demikian mengulas berita mengenai abu mendiang yang dibawa pulang ke Malaysia oleh sekumpulan individu pada Sept lalu yang mencetuskan bantahan banyak pihak.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, merupakan setiausaha agung PKM sehingga parti itu mengakhiri perjuangan bersenjata pada 1989.
Beliau meninggal dunia di Thailand pada tahun 2013.
Abdul Rahim, yang terlibat secara langsung dalam perjanjian damai itu merupakan ketua polis Cawangan Khas pada masa itu.
Katanya, syarat-syarat perjanjian itu juga membolehkan semua pemimpin PKM untuk kembali ke tanah air, termasuk Chin Peng.
'Kalau Chin Peng boleh balik, kenapa abunya tak boleh?'
Bagaimanapun, menurut beliau, Chin Peng dan beberapa pemimpin kanan PKM pada masa itu membuat keputusan untuk tidak pulang.
"Menurut perjanjian ini, salah satu sebut mereka ni boleh balik, tapi janganlah ulang balik cerita lama, nak tubuh balik PKM.
"Jadi kalau Chin Peng boleh balik, takkanlah abu dia tak boleh balik, kenapa pula heboh-heboh ini kata tak boleh," katanya.
"Kita rakyat Malaysia tak kiralah wartawan ke Adun ke, MP (anggota parlimen) ke, kena memikirkan isu ini berdasarkan kepada wujudnya Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani dengan PKM pada Disember 1989.
"Saya rasa tidak ada isu, tidak seharusnya menjadi isu," jelasnya.
Rahim juga menyelar mereka yang sengaja menggembarkan gemburkan isu mengenai abu mendiang dengan membahagikan mereka kepada beberapa kategori.
"Sebab pertama mereka tak sedar telah wujud Perjanjian Damai Disember 1989.
"Kedua, mungkin bersikap rasis sebab Chin Peng ni dia dah memberontak sejak 1948, komunis pula dan dia ni orang Cina. Jadi timbulkan kebencian atas faktor-faktor itu.
"Ketiga, mereka ni tau abu Chin Peng ni boleh bawa balik, tapi sengaja tak mahu menerima kenyataan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai