Kenapa pilih Hari M'sia bawa balik abu Chin Peng, soal PAS
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempersoalkan pemilihan tarikh 16 September sebagai tarikh yang dipilih oleh pihak yang bertanggungjawab membawa masuk abu mayat Chin Peng balik ke negara.
Katanya, tindakan pihak yang menzahirkan penghormatan kepada tokoh komunis itu menunjukkan mereka masih “beriman kepada ideologi” tersebut.
“Malah pemilihan tarikh 16 September yang amat signifikan dengan penubuhan Malaysia turut mengundang persoalan akan motif sebenar upacara tersebut.
“Langkah menghormati tokoh komunis itu menandakan hati mereka masih cintakan fahaman yang haram bagi negara ini. Penghormatan yang diberi bukan sekadar nama peribadi jasadnya, tetapi kerana masih beriman kepada ideologinya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Untuk rekod, 16 September ialah hari penubuhan Malaysia (1963) yang disambut setiap tahun sebagai Hari Malaysia.
Pada 16 September 2013 Chin Peng menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah bermastautin di Thailand sejak 1989.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, merupakan setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga dibubarkan selepas Perjanjian Damai Hat Yai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 1989.
Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September oleh kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng, dan ditabur sebahagian di laut berhampiran Lumut, Perak, manakala sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu peringatan.
Abdul Hadi turut menyifatkan tindakan mereka yang mengangkat martabat Chin Peng sebagai wira negara sebagai satu “fahaman paling salah dan sesat” dan “paling tidak menghormati” pahlawan yang berjuang menentang penjajah khususnya menentang komunis.
“Semua pihak mesti berwaspada terhadap penyakit ini sebelum menjadi barah yang sukar diatasi,” katanya memberikan amaran.
Selain itu, Abdul Hadi turut berkata pembawaan pulang abu itu tidak boleh dipandang hanya dari sudut kemanusiaan semata-mata, tetapi juga dari sudut perjuangan tidak beragama dan tidak berperkimanusiaan fahaman itu yang “tidak layak diberi penghormatan di negara ini”.
“Latar belakang sejarahnya (fahaman komunis) daripada Yahudi Karl Marx, musuh Islam dan musuh semua agama serta bangsa bagi merosakkan kaum lain,” katanya.
Beliau turut menyifatkan fahaman itu membawa kekejaman dan kerosakan yang lebih dasyat kepada sesebuah negara berbanding yang dibawa oleh penjajah barat.
“Adapun umat Islam paling menjadi mangsa kekejaman negara komunis di seluruh dunia.
“Oleh sebab itu, seluruh umat Islam menentang komunis di seluruh dunia, sehingga lebih keras daripada menentang penjajah lain dan menjadi keutamaan lebih daripada menentang penjajah kapitalis barat,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Dr Shamsul Anuar Nasarah (gambar, atas) mendesak kerajaan PH membuat penjelasan tentang abu mayat Chin Peng dibenar dibawa balik untuk ditabur di negara ini sedangkan pentadbiran BN sebelum ini mengambil pendirian bertentangan.
Katanya, tidak memadai buat PH sekadar menafikan dan memberikan alasan tidak tahu tentang hal itu.
“Kita minta Kerajaan PH membuat penjelasan. Penjelasan itu penting untuk direkod dan bagi pengetahuan rakyat. Kita bimbang fahaman komunis akan menular semula di negara ini dan kita mesti menghalangnya.
“Sekadar menafikan dan memberikan alasan tidak tahu abu mayat mendiang dibawa pulang tidak memadai kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shamsul, kerajaan PH dilihat bukan sahaja seolah-olah tidak menghargai perjuangan perajurit yang menentang komunis, tetapi seperti mengizinkan pengiktirafan diberikan kepada mereka.
Tegasnya juga, tidak boleh ada sebarang usaha yang boleh ditafsirkan sebagai usaha “menghidupkan atau menyemarakkan” komunis, yang katanya sangat jelas bertentangan dengan rukun negara.
“Kita mesti sensitif. Ramai mangsa kekejaman PKM pimpinan mendiang [...] dan ada yang menerima kesan sehingga hari ini. Semua ini perlu diambil kira. Oleh itu, sensitiviti rakyat Malaysia yang menolak fahaman dan ideologi komunis di negara ini mesti difahami.
“[...] kerajaan PH khususnya KDN mesti membuat penjelasan kedudukan sebenar siapa, bila dan bagaimana abu mayat Mendiang Chin Peng boleh dibawa pulang ke Malaysia,” katanya lagi.
Semalam, dalam perbahasan rang undang-undang (RUU) perbekalan 2020 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, anggota parlimen pembangkang mengasak Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan.
Dalam penggulungannya, Mohamad menyatakan akan membuat pendirian selepas siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan ia di bawah bidang kuasa kementerian itu.
Sebelum itu, Menteri KDN, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, dan menyatakan hal itu sepatutnya perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai