Skip to main
Logo Malaysiakini

Nadir bumi - Hanya meneroka, bukan melombong, kata kementerian

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (Kats) menjelaskan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Perak dan sebuah syarikat China bertujuan mengenal pasti sumber nadir bumi di negeri itu, bukan untuk melombongnya.

Pengumuman itu hadir setelah berita pemeteraian MOU itu mendapat bantahan daripada beberapa pihak, termasuk NGO dan anggota parlimen, yang menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kesihatan penduduk.

“Kats ingin menegaskan bahawa pemeteraian perjanjian tersebut hanya tertumpu kepada proses kajian bagi mengenal pasti sumber-sumber nadir bumi di negeri tersebut, bukannya melibatkan sebarang aktiviti perlombongan untuk mengeluarkan sumber tersebut,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kementerian terbabit turut menyifatkan MOU itu masih di peringkat awal, bagi menggunakan kepakaran dari pihak China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak, khususnya jenis lempung jerapan ion (ion adsorption clay).

Jelas Kats, sumber nadir bumi tersebut tidak mengandungi thorium mahupun uranium sebagai sisa sampingan.

“Kats menyokong sebarang kerjasama dengan pihak luar sekiranya jalinan tersebut boleh memberi impak positif dalam pembangunan ekonomi Malaysia secara mampan dan tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 16 November, Perbadanan Menteri Besar Perak (MBI) menandatangani MOU dengan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd bagi untuk meneroka mineral nadir bumi di negeri itu.

MBI sebelum ini turut memberi jaminan bahawa ia sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan negeri dan juga di peringkat persekutuan, dan mengambil sikap “amat berhati-hati” bagi mengelakkan berulangnya bencana radioaktif di Bukit Merah pada tahun 1990-an.

Katanya, MOU itu hanyalah untuk tujuan penerokaan nadir bumi, manakala perlombongannya pula tidak akan diteruskan jika didapati tidak selamat.

Pada 1992, Asian Rare Earth yang merupakan anak syarikat Mitsubishi Chemicals, menutup kilangnya berikutan kebocoran radioaktif yang mengakibatkan keracunan serius dalam kalangan penduduk sekitar di Bukit Merah.

Syarikat itu kemudian menawarkan ganti rugi kepada penduduk di situ tanpa menerima kebertanggungjawaban terhadap insiden penyakit kanser di kawasan terbabit.

[Baca berita penuh]