Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan mahu selesai isu miskin bandar bukan dengan 'Panadol'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, hari ini mengibaratkan kebanyakan usaha menyelesaikan masalah kemiskinan bandar sebelum ini hanya seperti memberikan ubat penahan sakit dan bersifat sementara.

Katanya, walaupun menghargai usaha yang dilakukan tersebut usaha itu dilihat masih gagal mengatasi masalah kemiskinan bandar secara menyeluruh.

“Usaha-usaha ini sangat dihargai tetapi boleh dikatakan kebanyakan daripadanya macam usaha memberikan Panadol untuk mengatasi kesakitan, tetapi tidak menyelesaikan masalah itu dengan cara yang tuntas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Khalid ditemui pada sidang media megumumkan Seminar Menghapuskan Kemiskinan Bandar Putrajaya. Ia akan diadakan pada 5 Dis ini bertujuan mencari kaedah penyelesaian terbaik mengatasi isu kemiskinan bandar.

Seminar tersebut dianjurkan Yayasan Salam bersama Yayasan Wilayah Persekutuan.

Khalid berkata, penghijrahan masyarakat dari luar bandar ke bandar-bandar besar menjadi antara punca utama masalah kemiskinan bandar di negara ini.

Menurut ahli parlimen Shah Alam itu, tidak semua orang yang berhijrah ke bandar besar berjaya mendapat kehidupan lebih baik.

Urus secara mikro

“Masanya sudah sampai untuk masalah ini dikaji secara menyeluruh, lebih mendalam bagi mencari punca kemiskinan bandar dan bagaimana ia boleh diatasi dengan tepat.

“Kita memerlukan kaedah dan pendekatan yang baru untuk mengatasi masalah ini. Kita mahu idea dan cadangan yang bernas serta segar dan praktikal,” tambahnya lagi.

Kata Khalid, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar, seperti menghulurkan bantuan namun mengakui masalah tersebut masih lagi timbul dalam kalangan warga kota.

Sementara itu mengulas mengenai status terkini pembangunan Kampung Baru, Khalid memberitahu, kementeriannya mempunyai perancangan sehingga Jun 2020 bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengumpul semua data selepas 30 Nov ini bagi mengetahui jumlah sebenar pemilik tanah yang bersetuju dengan tawaran yang diberikan kerajaan.

Sekiranya masih ada yang tidak bersetuju, kata Khalid, kerajaan akan menangani perkara tersebut secara mikro.

“Kita akan melihat semua maklumat lanjut yang dimiliki dan akan menguruskan setiap seorang dan setiap satu lot secara fokus oleh pihak Perbadanan Kampung Baru,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun yakin proses pengambilalihan tanah tersebut akan berjalan dengan lancar selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mencapai persefaham dengan beberapa tokoh Daim Zainuddin.