Abu mayat Chin Peng dijadikan isu untuk burukkan kerajaan - PM
Dr Mahathir Mohamad berkata isu abu mayat Chin Peng sengaja dibangkitkan untuk memburukkan kerajaan sekarang.
Bercakap kepada media di Seoul, Korea Selatan, hari ini perdana menteri memberitahu Chin Peng sudah mati dan sepatutnya semua orang melupakan kisah lama.
Dalam keadaan begitu, kata beliau, tiada apa yang boleh dilakukan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) berkenaan dan apa yang dibawa masuk ke Malaysia cuma abu mayatnya saja.
"(Chin Peng) bukan boleh buat apa dah... cuma dia punya ashes (abu mayat) saja yang balik pun," katanya.
Dr Mahathir menambah semasa zaman perang dulu memang banyak nyawa terkorban namun tidak ada gunanya mengungkit kejadian itu lagi.
"Jadi benda yang semacam ini yang nak bangkitkan ini, untuk apa? Nak puaskan hati siapa?
"Nak suruh kita pi kutip balik abu dia tu, hantar dia balik?
"Benda yang kecil-kecil, yang tu korek, (cuma) nak memburukkan kerajaan," katanya.
Shamsiah, Rashid boleh balik
Dr Mahathir juga berkata kerajaan membenarkan Shamsiah Fakeh balik ke tanah air namun ia tidak pula menjadi isu.
"Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Rashid Maidin boleh mai (datang) ke Malaysia, ada lain-lain lagi kita terima tapi Chin Peng kita tak mahu terimalah sebab dia ketua,” jelas Dr Mahathir lagi.
Isu abu mayat Chin Peng menjadi perhatian apabila ada pihak memberitahu ia akhirnya "kembali ke rumah" selepas mati pada 2013.
Menurut mereka abu mayat Chin Peng dibawa dari Thailand ke Malaysia dan ditaburkan ke laut serta gunung dua bulan lalu.
Untuk rekod, Chin Peng - atau nama sebenarnya Ong Boon Hua - lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 dan bermastautin di Thailand sejak PKM dan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dalam di Hatyai pada 1989.
Ekoran laporan itu pelbagai pihak menyatakan rasa marah terhadap kerajaan dan tidak kurang juga mengaitkan insiden tersebut dengan cubaan menyebarkan fahaman komunisme di negara ini.
Dr Mahathir berkata sukar untuk pihak berkuasa mengesan kemasukan abu mayat Chin Peng kerana ia disimpan dalam bekas.
"Macam mana kita nak tahu dia bawa abu ini dalam flask? Kita tak tahu tengok flask. (Ada) sesiapa pi tengok (apa ada) dalam flask? Kalau tengok pun, nampak abu saja," katanya.
Beliau juga mendakwa ada kelemahan berlaku pada zaman Najib Razak menjadi perdana menteri tetapi ia diterima sesetengah pihak.
"Sekarang ini tak boleh, itu salah... semua blame (salahkan) PH," katanya.
Beliau juga secara sinis berkata, isu abu mayat Chin Peng lebih penting berbanding perancangan kerajaan membangunkan negara.
"Kalau (sebab abu mayat Chin Peng) nak buang saya, buanglah... Itu lebih penting lagi daripada pembangunan yang kita buat, kita dapat jaga negara dengan aman," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai