Skip to main
Logo Malaysiakini

Tian: Saya mahu bertanding di Batu PRU depan, bukan sekarang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib Presiden PKR, Tian Chua menjelaskan bahawa beliau berhasrat untuk bertanding di kerusi parlimen Batu pada pilihan raya umum akan datang dan bukannya sekarang.

Tian Chua berkata, beliau tidak pernah menggesa anggota parlimen kawasan berkenaan, P Prabakaran agar berundur pada masa ini.

"Saya tidak pernah kata bahawa dia (Prabakaran) perlu berundur.

"Apa yang saya katakan adalah pada pilihan raya akan datang, saya boleh bertanding, jadi persoalannya ialah di mana saya perlu pergi.

"Yang paling praktikal adalah Batu. Tetapi saya fikir ia terpulang kepada parti untuk memilih," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi petang ini.

Terdahulu Chua dalam temu bual dengan The Malaysian Insight berkata beliau lebih 'praktikal' untuk mewakili penduduk di parlimen Batu memandangkan mereka lebih mengenalinya dan beliau juga mempunyai hubungan baik dengan penduduk.

Tian Chua merupakan anggota parlimen Batu selama dua penggal dari tahun 2008 sehingga 2018.

Dalam responnya selepas temu bual itu, Prabakaran menulis kenyataan yang tajam di halaman Facebook milikinya.

"Praktikal' yang dimaksudkan beliau (Tian Chua) mungkin berbeza dengan 'praktikal' dari sudut saya.

"Bagi saya, amat praktikal untuk anak muda seperti saya memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi.

"Sangat praktikal untuk saya mendekati pengundi dan pengundi mendekati saya, dengan masalah mereka yang tidak selesai sejak beberapa tahun.

"Sangat praktikal untuk saya memahami isu-isu di Batu dan membawa perubahan sebagai seorang anak tempatan di sini," kata Prabakaran sambil menambah beliau tidak mempunyai masa untuk risau berhubung perkara itu.

'Kerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat'

Menjelaskan pendiriannya, Chua berkata beliau tidak bermaksud menonjolkan diri sebagai individu yang lebih baik semasa temubual berkenaan.

"Saya bukan pilihan yang paling praktikal tetapi ia yang paling praktikal bagi saya untuk bertanding di Batu.

"Saya lebih suka (bertanding) di tempat yang saya kenali dan di mana saya telah berkhidmat sebelum ini, tetapi terpulang kepada parti," tegas beliau.

Ahli politik itu menegaskan menjadi seorang anggota parlimen memerlukan komitmen yang besar dan berharap Prabakaran memahami perkara itu.

"Beliau telah dipilih jadi dia perlu bekerja lebih keras untuk berkhidmat (kepada rakyat). Tetapi ini tidak ada kena mengena dengan sama ada kamu bertanding di pusingan seterusnya atau tidak, itu adalah isu yang berasingan,"katanya.

Berusia 22 tahun ketika memenangi kerusi parlimen Batu tahun lepas, Prabakaran juga merupakan anggota Parlimen yang paling muda dalam sejarah Dewan Rakyat.

Beliau bertanding di kerusi itu pada PRU-14 sebagai calon bebas tetapi kemudian mendapat sokongan PKR selepas Chua hilang kelayakan untuk bertanding pada hari penamaan calon.

Chua mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu mahkamah. 

Awal bulan ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau layak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Tidak lama selepas itu, muncul gesaan agar Prabakaran meletakkan jawatan bagi memberi laluan agar Chua kembali menjadi anggota parlimen melalui satu pilihan raya kecil.

Prakabaran enggan berbuat demikian, manakala Chua menjauhkan dirinya daripada gesaan itu.